ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang maut selepas bergesel dengan treler. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Alor Gajah: Dua beranak maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan treler di persimpangan Kendong di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Muhamad Shaiful Zulkepli, 34, bersama anak angkatnya Nur Shazieliana Shuhadah Abdul Latif, 4, maut di tempat kejadian akibat diseret manakala isterinya Nor Adlina Hassan, 29, hanya cedera.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal berada di belakang treler sebelum dipercayai bergesel.

"Kedua-dua kenderaan terbabit dari arah sama iaitu Tampin,bagaimanapun ketika di susur masuk berhampiran lampu isyarat Kendong berlakunya pergesaran ketika treler berkenaan membelok ke arah Alor Gajah.

"Akibatnya motosikal dinaiki tiga beranak itu terbalik sebelum mangsa dan anaknya yang duduk di bahagian hadapan diseret treler berkenaan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah manakala isterinya yang cedera di kepala dihantar ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 7:09 PM