Kuala Lumpur: Malaysia komited untuk terus mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas (O&G) sebagai salah satu daripada penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan sekali gus mengurangkan risiko daripada impak harga minyak global yang berubah-ubah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pengurangan kebergantungan terhadap sektor O&G itu kini semakin menunjukkan keberkesanannya apabila jumlah peratusan sektor O&G kian menurun daripada masa ke masa.

“Sejak 2009, kami mengurangkan kebergantungan sektor O&G terhadap pendapatan keseluruhan negara sebanyak 40 peratus, 36 peratus (2011) dan 31 peratus pada tahun lalu,” katanya dalam ucaptama Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC 2014) di sini, semalam.

IPTC adalah acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir antara Doha, Qatar dan lokasi lain di rantau Asia Pasifik itu bertujuan membincangkan isu dan teknologi terkini dalam industri O&G yang mencabar pakar industri dan pengurusan di seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan mampu menghadapi tekanan penurunan harga minyak dunia kerana struktur ekonomi negara kini yang pelbagai dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor O&G.

Menurutnya, kerajaan berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan negara daripada hanya bergantung terhadap sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui itu.

“Melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015, sumbangan O&G dijangka terus menurun ke bawah paras 30 peratus dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Harga minyak dunia ketika ini berada pada tahap AS$66 (RM230) setong iaitu paras terendah sejak beberapa tahun, sekali gus mampu menjejaskan minat syarikat minyak untuk meningkatkan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:08 AM