ANTARA penumpang yang membeli tiket feri mendapatkan semula wang di kaunter dan notis pembatalan perjalanan feri (gambar kecil). FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Kuala Kedah: Operasi feri dari Terminal Feri Kuala Kedah di sini ke Langkawi dibatalkan mulai 4.30 petang hari ini, berikutan ombak tinggi dan angin kuat.

Pembatalan itu dimaklumkan kakitangan Langkawi Ferry Line Venture Sdn Bhd (LFLVSB) kepada lebih 100 penumpang yang membeli tiket dan bersedia untuk berlepas dengan feri pada 4.30 petang.

Ekoran pembatalan itu, syarikat feri mengembalikan wang kepada penumpang yang sudah membeli tiket dan menasihatkan mereka menggunakan terminal feri Kuala Perlis untuk ke Langkawi kerana jadual perjalanan feri dari terminal itu tidak terjejas.

Seorang kakitangan LFLVSB yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli ketika ditemui berkata, operasi feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk.

"Syarikat sudah membatalkan perjalanan feri yang dijadual pada 4.30 petang ini dari Kuala Kedah ke Langkawi kerana ketinggian ombak dilaporkan mencecah setinggi kira-kira dua meter dan amat berbahaya.

"Penumpang yang membeli tiket boleh mengambil semula wang masing-masing di kaunter," katanya.

Beliau berkata, tiga perjalanan feri yang dijadualkan terbabit dengan pembatalan itu termasuk 4.30 petang dan 6 petang serta 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 6:58 PM