Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelumba legenda motosikal negara Wazi Abdul Hamid yang akan mengembara ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat haji tahun ini memilih motosikal kapcai kerana ia kenderaan dua roda yang biasa digunakan oleh masyarakat kebanyakan.

Beliau bersama empat lagi penunggang berpengalaman iaitu Meor Azhar Meor Raflan, 43, Azman Baharuddin, 53, Othman Darus, 46, dan Mat Napiah Mohd Noor, 50, akan memulakan pengembaraan ‘Ride to Hajj’ pada 29 Julai ini selama 35 hari dengan pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Kami memilih kapcai sebagai kenderaan tunggangan kerana ia adalah kenderaan biasa-biasa sahaja atau marhaen. Kami mahu buktikan motosikal ini boleh menjadi medium untuk suatu matlamat yang amat tinggi iaitu menunaikan haji... Insya-Allah,” kata bekas juara kategori Expert Kejuaraan Cub Prix 1996 itu kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Majlis pelepasan itu akan diadakan di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas di Pulau Pinang dan perkembangan perjalanan pengembaraan itu boleh diikuti di laman sosial Facebook Wazi atau ‘Ride to Hajj’.

Konvoi lima kapcai Modenas terbabit bakal merentasi tujuh buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran sebelum memasuki Arab Saudi sejauh lebih 11,000 kilometer.

Mereka seterusnya akan menunaikan haji sebagai kemuncak kembara berkenaan sekali gus bakal mencatatkan sejarah sebagai rakyat Malaysia menyempurnakan ibadat berkenaan melalui jalan darat dengan bermotosikal.

Umat Islam pada tahun ini dijangka wukuf di Arafah pada 12 September akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 3:24 PM