AKTIF bersenam atau melakukan aktiviti fizikal mampu memberikan tenaga kepada badan.

Letih selepas melakukan tugasan ataupun pulang dari sekolah adalah perkara biasa dialami. Namun, ia menjadi tidak normal apabila badan berasa letih sepanjang masa biarpun tidak melakukan banyak atau tidak berbuat apa-apa.

Jika ia berlaku, mungkin ada mesej yang disampaikan oleh badan untuk kita mengubah gaya hidup atau diet yang lebih seimbang. Ada beberapa sebab mengapa badan berasa letih sepanjang masa. Antaranya:

1. Diet yang diambil

Protein, lemak sihat dan serat memberikan tenaga yang berpanjangan kepada tubuh. Jika badan tidak menerima nutrien penting itu secukupnya, ia akan menyebabkan kita tidak mempunyai tenaga yang diperlukan.

Sebaik-baiknya, amalkan pengambilan gabungan protein yang boleh diperoleh daripada daging pejal, telur dan kacang. Bukan itu saja, pengambilan lemak menyihatkan yang diperoleh daripada avokado, buah zaitun dan kekacang juga membantu memberikan tenaga berpanjangan.

Serat dan karbohidrat yang diperoleh daripada bijian sempurna, sayur dan buah dalam setiap hidangan juga tidak boleh dilupakan.

2. Positif dan kreatif

“Sikap pesimis memang meletihkan. Individu pesimis tidak percaya kepada mereka boleh berhadapan dengan cabaran sekali gus berasa malas dan tidak mengambil tindakan positif.

“Sebaliknya, individu optimis mengharapkan perkara positif berlaku dalam setiap cabaran yang dilalui dan percaya perlu melakukan tindakan untuk berjaya.

“Hanya dengan mengetahui potensi untuk perkara yang baik akan berlaku mampu meningkatkan pengeluaran tenaga dalam tubuh,” kata pengarang Broadcasting Happiness dan pengasas Institute of Applied Positive Research, Michelle Gielan.

Ujarnya, jadikan tabiat menyelesaikan masalah dengan kreatif untuk memastikan otak kita sentiasa bertenaga untuk maju ke depan.

3. Aktif dan bersenam

Kurang bersenam juga boleh menyebabkan badan berasa letih kerana tiada peluh atau kalori yang dibakar. Jika mahu merasai sendiri tenaga yang diperoleh dengan bersenam, cuba lakukan aktiviti fizikal atau ke kelas kecergasan, berbanding hanya menonton televisyen, membeli-belah secara dalam talian atau membaca saja. Jika gemar menonton televisyen, lakukanlah pergerakan seperti berjalan setempat selama rancangan kegemaran anda disiarkan dan rancakkan pergerakan anda ketika iklan.

4. Pengambilan gula

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian.

Gula juga terdapat dalam buah-buahan (dipanggil fruktosa) dan susu (laktosa). Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana ia boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.

Pengambilan gula dalam jeli atau minuman soda juga boleh menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat dengan pantas sekali gus menyebabkan rasa letih.

Pada 2003, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah tenaga harian. Justeru, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).

Pengambilan gula tambahan boleh mengakibatkan pengambilan kalori yang berlebihan. Pengambilan kalori harian yang berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal.

5. Dehidrasi

Rasa haus? Ia adalah tanda badan mengalami dehidrasi. Kehilangan cecair dalam badan boleh menyebabkan tubuh berasa letih terutama ketika menjalani latihan.

Dehidrasi juga boleh memberi kesan kepada tumpuan dan kecergasan seseorang. Di dalam satu kajian berkenaan fisiologi dan kelakuan, individu yang mengalami dehidrasi ringan dan memandu dalam tempoh dua jam akan melakukan kesilapan berbanding mereka yang mengambil air mencukupi.

Biarpun sudah acap kali kita mendengar mengenai kepentingan mengambil air kosong dalam jumlah mencukupi, berapa ramai yang mengikuti saranan itu. Justeru, bagi memastikan badan sentiasa bertenaga, amalkan pengambilan air minuman mencukupi setiap hari.

6. Tidur yang kurang berkualiti

Kebanyakan orang memerlukan tidur yang mencukupi dalam tempoh tujuh hingga sembilan jam setiap hari. Bukan tempoh mencukupi saja yang diperlukan, kualiti tidur yang baik juga mampu mengelakkan badan berasa letih.

“Otot berehat dan merawat pada waktu malam manakala otak yang tidur menjalankan pelbagai fungsi pemulihan berganda seperti simpanan kalori serta pembuangan sisa toksik daripada otak,” ujar Profesor Madya Psikologi Iowa State University, Zlatan Krizan.

Sebaiknya, tetapkan waktu tidur dan tenangkan diri sebelum tidur dengan membaca. Selain itu pilih persekitaran yang mendamaikan untuk mendapatkan tidur yang lena.

7. Kurang zat besi

Rasa letih antara tanda badan kekurangan zat besi. Kehadiran mineral dalam badan membantu sel darah merah membawa oksigen di keseluruhan badan.

Jika proses berkenaan tidak berlaku dengan baik, badan mudah berasa letih. Wanita yang mengalami pengeluaran darah haid yang banyak berisiko mengalami kekurangan jumlah zat besi dalam badan.

Bagi mengelakkan kekurangan zat besi, cuba ambil daging merah atau kerang. Bukan itu saja, kekacang, sayur berdaun hijau dan bijirin juga kaya dengan zat besi.

Bagi menggalakkan dan meningkatkan tahap penyerapan zat besi daripada makanan yang diambil, gabungkan bersama pengambilan sumber yang kaya dengan vitamin C seperti buah oren. - Hajahfarhana Tarmudi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:05 PM