KURANGKAN pengambilan susu pekat manis dan gula dalam minuman atau hidangan yang diambil.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Hidangan pencuci mulut seperti kek, kuih manis dan aiskrim enak dimakan terutama ketika musim panas atau minum petang. Bagi menghasilkan pencuci mulut enak ini, pastinya penggunaan gula dalam kuantiti yang banyak akan dimasukkan ke dalam adunan.

Pada musim perayaan ini, boleh dikatakan setiap rumah menyajikan hidangan manis. Biskut raya, kek, halwa, beraneka dan kuih-muih tradisional semuanya mempunyai kandungan gula yang tinggi. Itu tidak termasuk minuman manis.

Jika anda penggemar makanan atau minuman manis ini, perlu berhati-hati dengan pengambilan gula harian anda. Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.

Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan berbentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa. Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga secara berlebihan sekali gus boleh meningkatkan berat badan serta menyebabkan obesiti. Obesiti meningkatkan risiko pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari serta beberapa jenis kanser.

Bukan itu saja, malah gula juga boleh dikaitkan dengan masalah karies gigi. Justeru, amalkan tujuh langkah bijak yang dikongsi portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengurangkan pengambilan gula terutama pada musim perayaan ini.

Tujuh langkah bijak mengurangkan pengambilan gula:

1. Minum air kosong bagi menggantikan minuman manis.

Air kosong tidak mengandungi gula dan kalori berbanding minuman manis. Misalnya, satu tin air berkarbonat mengandungi tujuh sudu teh gula. Satu sudu teh gula membekalkan 20 kalori. Justeru, satu tin air berkarbonat akan membekalkan sebanyak 140 kalori.

Sekiranya seseorang mengambil tiga tin minuman berkarbonat sehari, jumlah kalori adalah bersamaan 420 kalori. Untuk membakar 420 kalori, seseorang itu perlu:

- Berlari atau menaiki tangga selama satu jam

- Berjoging atau berjalan menaiki bukit selama satu jam

Menari aerobik selama 75 minit - Berbasikal selama 105 minit

- Melakukan kerja rumah selama tiga jam

2. Hadkan gula, susu pekat manis, susu isian pekat manis dan krimer manis kepada satu sudu teh saja untuk setiap cawan minuman.

Sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengambil minuman manis. Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan dalam Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan gula yang ditambah dalam minuman adalah sebanyak tujuh sudu teh sehari iaitu empat sudu teh gula pasir dan tiga sudu teh susu pekat manis.

Justeru, agak sukar bagi kita untuk menerima minuman yang langsung tidak ditambah gula atau susu pekat manis. Kita boleh mulakan pengurangan pengambilan gula dan susu pekat manis kepada satu sudu teh saja bagi setiap cawan minuman.

3. Elakkan menambah gula dalam masakan, sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.

Gula adalah salah satu ramuan utama dalam masakan seperti kuih-muih dan kek. Kurangkan penggunaan gula sebanyak suku daripada biasa. Elakkan juga menambah hiasan yang manis di atas kek cawan sebaliknya gantikan dengan buah-buahan yang sememangnya mempunyai khasiat.

4. Elakkan makanan dan minuman bergula di antara hidangan utama serta sebelum waktu tidur.

Pengambilan snek iaitu makan di antara waktu makan utama akan meningkatkan pengambilan tenaga harian. Kajian menunjukkan gula yang terkandung di dalam snek adalah penyumbang utama dalam peningkatan pengambilan tenaga ini.

5. Makan buah sebagai pencuci mulut bagi menggantikan makanan bergula seperti kuih, kek dan bubur.

Kuih, kek dan bubur mengandungi gula serta kalori yang tinggi berbanding snek sihat seperti buah-buahan. Justeru, menggantikan snek yang tinggi gula dengan snek sihat dapat mengurangkan pengambilan kalori harian.

6. Baca label dan elakkan produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal senarai ramuan.

Semak kandungan gula dalam senarai ramuan pada label sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula adalah komponen utama makanan berkenaan.

7. Pilih produk berlabel ‘rendah gula’ dan ‘bebas gula’

Mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985, makanan yang dilabel sebagai ‘rendah gula’ bermaksud kandungan gula tidak melebihi lima gram per 100 gram atau 2.5 gram per 100 mililiter.

‘Bebas gula’ pula bermaksud kandungan gula tidak melebihi 0.5 gram per 100 gram atau 100 mililiter. Industri makanan mengambil inisiatif untuk mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang dikeluarkan.

Kini terdapat semakin banyak produk yang kurang kandungan gula di pasaran. Justeru, pilihlah produk makanan yang rendah atau bebas gula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:01 PM