CARA ulang kaji yang betul perlu didedahkan kepada pelajar supaya mereka mampu meningkatkan kefahaman. - Gambar hiasan
USAHA berterusan perlu dilaksanakan bagi membantu pelajar menguasai subjek Sains dan Matematik. - Gambar hiasan
SOKONGAN pelbagai pihak menerusi bengkel Sains dan Matematik boleh membantu pelajar mengubah persepsi mengenai kesukaran menguasai kedua-dua subjek berkenaan. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Semua pihak ada tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk memperbaiki kelemahan penguasaan subjek Matematik dan Sains pelajar peringkat sekolah rendah, menengah dan tertiari (tinggi) di negara ini.

Ini berikutan kedua-dua subjek itu menunjukkan kejatuhan ketara dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS), baru-baru ini.

Biarpun kemerosotan itu sudah dijangka mendapat reaksi negatif daripada masyarakat, usaha mencari mekanisme terbaik tetap dilakukan pihak berkaitan untuk memperbaiki kelemahan.

Meskipun sedar usaha itu memerlukan masa panjang, sekurang-kurangnya ia sudah dilaksanakan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, usaha melonjakkan kembali kedudukan subjek Sains dan Matematik dalam penarafan itu perlu dilakukan berterusan dengan sokongan pelbagai pihak.

“Meskipun secara dasarnya usaha ini lebih kepada tanggungjawab Kementerian Pendidikan, pihak lain juga perlu mengambil tindakan sama.

“Ibu bapa, masyarakat, guru, sekolah, ahli akademik dan sebagainya perlu memberi kerjasama dan menyokong usaha ini.

“Ia bukan hanya masalah satu pihak, tapi semua kerana ia membabitkan masa depan generasi kita dan negara,” katanya.

Beliau berkata sikap segelintir pihak gemar meletakkan kesalahan kepada pihak tertentu perlu dihindari.

“Sikap itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah, malah boleh mencetuskan masalah lain pula.

“Kita perlu cari pendekatan dan memahami masalah kelemahan pelajar dalam kedua-dua subjek ini.

“Setiap pihak boleh memainkan peranan. Itu lebih baik daripada bersikap saling menyalahkan,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana peranan ibu bapa boleh meningkatkan pengetahuan anak mereka mengenai sains.

“Ibu bapa boleh menggunakan apa saja pendekatan persekitaran untuk mengajar mengenai sains atau sekurang-kurangnya memupuk minat terhadapnya.

“Malangnya, sebahagian besar ibu bapa terlampau sibuk dan melepaskan tanggungjawab mengajar kepada guru semata-mata.

“Sedangkan minat atau pengetahuan perlu bermula di rumah, kemudian baru di sekolah,” katanya.

Dr Hassan berkata, guru pula perlu menggunakan kemahiran mereka untuk membantu pelajar lebih memahami dan memantapkan penguasaan subjkek terbabit.

“Gabungan dua pihak ini sangat penting untuk memupuk penguasaan pelajar terhadap sains dan matematik.

Beliau turut menekankan kepentingan mekanisme pembelajaran dan pengajaran (P&P) untuk mengatasi masalah itu.

“Kita perlu ingat pelajar zaman ini ‘anak’ teknologi. Cara mengajar juga mesti bersesuaian dengan minat mereka.

“Perkembangan dunia teknologi dan digital boleh dimanfaatkan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran.

“Saya yakin cara pembelajaran ini akan memudahkan pelajar menguasai kedua-dua subjek berkenaan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan minat pelajar terhadap Sains dan Matematik merudum disebabkan andaian subjek itu sukar.

“Ini perkara biasa kerana sejak dulu ramai berpendapat sains dan matematik susah. Persepsi itu muncul kerana mereka sering dimomokkan dengan tanggapan ia susah sedangkan sebenarnya mereka yang tidak faham keperluannya.

“Kalau benar ia sangat sukar, bagaimana orang dulu-dulu yang serba-serbi kekurangan alat bantuan mengajar masih boleh mencatat keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan?” soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 11:07 AM