Anggota polis maut selepas SUV dipandu terbabas dan terbalik. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar : Anggota polis maut, isterinya cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 256.4 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS), dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, Sarjan Mejar Gambaris Saingaw @ Watmin Saiman, 56, yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping meninggal dunia di tempat kejadian.

Isterinya, Nor Hayati Meor Mohmamed, 59 yang bertugas sebagai kerani di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Taiping cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, siasatan awal mendapati SUV berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh ke Taiping.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipandu anggota polis terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, SUV berkenaan terbalik di tepi kiri jalan dan rosak teruk di bahagian depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ahmad Termizi, akibat kemalangan itu, pemandu SUV disahkan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat

"Penumpang SUV berkenaan cedera dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Keadaan cuaca ketika kejadian hujan dan jalan menuruni bukit lurus," katanya.

Katanya, Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pix : kenderaan mangsa yang terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 8:18 PM