JUNAIDAH Basiron menunjukkan gambar anaknya Allahyarham Mohd Ali Mohd Salim yang merupakan seorang daripada mangsa nahas pesawat MH17. FOTO Bernama
Benama
am@hmetro.com.my


Muar: Hari ini, genap dua tahun insiden nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS), namun bagi keluarga Allahyarham Mohd Ali Mohd Salim, segala kenangan bersamanya tetap utuh terutama ketika menjelang Aidilfitri.

Ibu mangsa, Junaidah Basiron, 64, berkata, setiap kali menjelang Syawal merupakan detik sukar baginya apabila teringat kenangan manis mereka sekeluarga membuat persiapan menyambut lebaran.

"Setiap kali sambutan hari raya...arwah orang yang paling sibuk membuat persiapan daripada mengemas, menghias, membeli barang keperluan sehingga memasak di dapur.

"Arwah buat itu semua bagi memastikan bahawa persiapan raya lengkap tanpa menyusahkan anggota keluarga yang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jayor, Pagoh, di sini.

Mohd Ali merupakan antara yang terkorban dalam nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Bakal pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Jenazah arwah dibawa pulang ke tanah air menerusi kumpulan pertama mangsa MH17 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, pada 23 Ogos dua tahun lalu.

Ibu kepada lapan orang anak itu berkata, setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri, arwah pasti akan memasak sambal kegemarannya untuk seisi keluarga dan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah.

"Arwah belajar masak daripada makcik, dia seorang yang cukup teliti dan mengutamakan kesempurnaan dalam semua hal termasuk memasak.

"Beliau akan tumbuk sendiri cili kerana baginya rasa sambal yang dibuat dengan cara menumbuk lebih sedap daripada cili yang dikisar, malah ada rakan-rakannya memberitahu makcik mereka rindu masakan arwah kerana masakannya asli dan sedap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 2:25 PM