ISSEY ( dua dari kiri) diasak pemain Kelantan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Kelantan berpesta gol apabila membelasah Terengganu 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Pasukan pelawat yang masih segar dengan kejayaan menundukkan Pahang dalam kancah Piala Malaysia Selasa lalu, bermula garang apabila menjaringkan gol pada minit ketiga melalui sepakan penalti Blazhe Ilioski selepas dia dijatuhkan pertahanan Vincent Bikana yang dilayangkan kad merah.

Bagaikan tersentak dengan jaringan itu, pasukan Peteh Terengganu Peteh yang beraksi dengan sepuluh pemain tidak berputus asa dan hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Issey Nakajima Farran.

Selepas jaringan penyamaan itu, perlawanan dilihat kian menarik dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan untuk menambah jaringan biarpun pasukan tuan rumah bimbingan jurulatih Mike Mulvey kekurangan seorang pemain.

Keghairahan Terengganu memburu jaringan kedua hampir memakan diri apabila dua gerakan pantas lawan menerusi pemain import Wander Luiz Junior hampir membuahkan hasil, namun dapat diselamatkan penjaga gol selain terkena palang.

Seminit sebelum rehat, Junior yang tidak dikawal mudah menjaringkan gol kedua Kelantan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, pintu gol tuan rumah diasak di segenap penjuru oleh rangkaian penyerang pelawat dan Junior hampir menambah jaringan pada minit ke-52.

Hasrat pelawat untuk meledak jaringan ketiga akhirnya berhasil apabila Wan Zack Haikal bijak melakukan sepakan lencong pada minit ke-59, sekali gus gagal diselamatkan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Bagi mengimbangi kekuatan lawan, Terengganu melakukan tiga pertukaran dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha, Joseph Kalang Tie dan Mohd Ashari Samsuddin namun gagal menambah jaringan sebaliknya pasukan pelawat terus mencipta peluang untuk menambah gol.

Derita pasukan tuan rumah semakin parah apabila Ilioski meledak hatrik pada minit ke-64, 76 dan 86.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:18 AM