TERRY.
Reuters

London: Pemain pertahanan veteran John Terry akan kekal sebagai kapten pasukan pada musim akan datang, kata pengurus baharu Antonio Conte pada sidang akhbar pertamanya sejak menyertai kelab Liga Perdana itu.

Terry, 35, menandatangani kontrak lanjutan setahun di Stamford Bridge, Mei lalu, sekali gus menamatkan spekulasi yang menyebut dia akan meninggalkan kelab London berkenaan selepas membuat lebih 700 penampilan. Dia kekal menjadi pemain paling diminati penyokong Blues.

“John Terry kapten pasukan ini. Dia seorang pemain yang hebat dan mempunyai personaliti menarik serta berkarisma. Dia sinonim dengan kelab ini. Saya gembira dia akan terus bergelar pemain Chelsea,” kata Conte.

Conte yang membimbing Juventus hingga muncul juara Serie A tiga kali berturut-turut sejak 2012 sebelum menjadi pengurus skuad kebangsaan Itali, menggantikan pengurus sementara Chelsea Guus Hiddink.

Terkenal dengan kekuatan motivasi serta tegas di atas padang, Conte percaya pemain Chelsea perlu bekerja lebih keras untuk kembali ke landasan kemenangan selepas gagal ke pentas Eropah.

“Ketika di Itali, saya sering berkata jurulatih adalah seperti tukang jahit yang perlu menyediakan pakaian paling sesuai buat pasukannya,” kata Conte.

“Setiap pengurus mempunyai pandangan sendiri mengenai bola sepak dan saya mahu membawa idea ini kepada pemain Chelsea. Saya seorang yang bekerja keras dan saya mahu pastikan pasukan dan pemain saya berjaya.

“Adalah penting untuk mempunyai pemain yang sedia untuk berjuang, beraksi cemerlang dan membalas sokongan peminat.”

Chelsea yang juga juara Liga Perdana musim 2014-15, menamatkan saingan di kedudukan ke-10 musim lalu dan memecat pengurus Jose Mourinho pada pertengahan musim lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:09 AM