KEBAYA Riau nampak eksklusif.
KEBAYA Riau nampak eksklusif.
KEBAYA Riau nampak eksklusif.
KEBAYA untuk kanak-kanak turut ditawarkan.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Mahu tampil berbeza, jenama tempatan Syus, menawarkan pilihan pakaian tradisional, kebaya Riau yang mampu menonjolkan sisi anggun wanita selain memberikan gaya unik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Syus Nursyuhada Mat Isa berkata, koleksi itu menawarkan dua potongan kebaya iaitu jenis labuh dan moden mini iaitu baju di paras lutut.

Koleksi daripada kain jenis kapas sepenuhnya itu mempunyai 40 pilihan warna, daripada pastel hingga garang, untuk memudahkan pelanggan menggayakannya mengikut tema warna masing-masing.

“Kami menghasilkan pilihan warna yang banyak kerana mahu memberi peluang kepada semua untuk bergaya.

“Kebaya Riau ini juga sesuai digayakan mereka yang berbadan besar, malah boleh membantu pemakai kelihatan lebih langsing,” katanya.

Koleksi itu yang turut dikongsi di laman www.syuscouture.com dan Instagram/syuscouture, boleh didapati dalam saiz XS hingga XXXL, sesuai dengan bentuk badan wanita yang berbeza.

Nursyuhada berkata, koleksi terbabit memperlihatkan warna polos, namun ia mempunyai corak tidak ketara dalam warna sama, untuk menghidupkan nilai eksklusif dan menjadikannya lebih anggun.

“Saya memperkenalkan koleksi ini kerana sukar untuk pelanggan mencari kebaya yang boleh mengikut pelbagai jenis bentuk badan. Biasanya kebaya nampak lebih cantik pada mereka yang berbadan kurus.

“Bagaimanapun, melalui potongan kebaya Riau ini, orang berbadan besar juga boleh menggayakan kebaya tetapi mereka tidak nampak besar, sebaliknya pakaian itu mampu membuatkan mereka kelihatan lebih kurus,” katanya.

Kebaya itu mempunyai potongan kemas dengan bahagian bawahnya kembang dan terletak pada tubuh bagi memberi ilusi melangsingkan.

Ia juga tampak klasik dan sesuai digayakan di mana-mana, selain mudah dijaga dan selesa kerana menggunakan fabrik kapas.

Pada masa sama, koleksi itu turut menghasilkan pakaian kebaya Riau kanak-kanak yang dijual pada harga antara RM150 hingga RM160 mengikut saiz.

Selain kebaya Riau, jenama itu menampilkan kurung moden mini dan baju kurung Kedah yang juga menggunakan kain kapas. Bagi memberi kelainan, ia menghasilkan kurung moden mini dengan gabungan warna blok, dengan pilihan warna yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:04 AM