KEBANYAKAN karya dihasilkan menggunakan medium cat minyak di atas kanvas.
HEE Soon menjadikan bunga-bungaan sebagai subjek utama dalam karyanya.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Bagi yang ingin mengenali budaya Korea menerusi lukisan, pastikan anda mengunjungi Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) di Jalan Ampang.

Pameran Seni Korea yang bermula sejak 1 Julai lalu menampilkan karya tiga pelukis Oh Yong Hwan, Lee Mi Ja dan Han Hee Soon.

Lukisan dengan gaya tersendiri setiap pelukis pasti tidak jemu dihayati kerana setiap karya yang tergantung diterapkan elemen dan budaya dari negara berkenaan.

Karya Yong Hwan mengetengahkan cabang seni lukis ekspresionisme yang mempunyai makna mendalam.

Dia menjadikan lembu, kuda, bulan dan matahari sebagai subjek utama lukisannya dan turut mengekspresikan budaya Korea melalui penggunaan warna utama dan sekunder.

Yong Hwan antara pelukis Korea yang menjadikan landskap alam semula jadi sebagai subjek utama dengan menerapkan latar warna asli negara itu.

Warna-warna itu melambangkan cerita rakyat dan memiliki nilai estetika yang diterjemahkan melalui garisan berus di atas kanvas. Ia menggabungkan budaya moden dan lama dalam hasil seni yang harmoni.

Berbeza pula bagi Mi Ja dan Hee Soon yang lebih gemar menjadikan bunga-bungaan sebagai subjek utama.

Lebih 30 karya lukisan dipamerkan dengan kebanyakannya menggunakan medium cat minyak di atas kanvas.

Pameran berlangsung sehingga 31 Julai ini terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:52 PM