PEJABAT cawangan IBD di Kuala Lumpur.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my


Tersorok di belakang kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, ada sebuah bangunan tertera nama Institut Pembangunan Bioproduk yang lebih dikenali dengan singkatan IBD (Institute of Bioproduct Development) yang antara lain menghasilkan produk untuk kesejahteraan diri dan kecantikan.

Awalnya ia dikenali sebagai Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) dan diasaskan penubuhannya oleh Prof Ramlan Aziz pada 1998. Ia kemudian dinaik taraf kepada institut dengan nama sekarang pada 2011 dan kini beribu pejabat di UTM Skudai, Johor sementara di Kuala Lumpur adalah cawangannya.

Difahamkan banglo menempatkan pejabat IBD cawangan Kuala Lumpur dulunya kediaman Naib Canselor UTM. Di dalamnya antara lain menempat­kan pejabat kakitangan dan bilik pameran produk penyelidikan institut berkenaan.

Pencarian DermaMags, antara produk kecantikan keluaran IBD membawa penulis ke situ berikutan lokasinya mudah dicari iaitu di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) Kuala Lumpur. Sebelum kampus induk berpindah ke Skudai, Jalan Semarak dikenali umum kerana sinonim dengan kampus UTM.

Mengeluar dan menjual produk, namun IBD sebagai Pusat Kecemerlangan mengkhusus kepada kegiatan Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan Bioproduk Inovatif sebagai menyokong industri kesejahteraan negara. Produknya dibangun melalui proses penyelidikan berkualiti menggunakan herba tempatan atau bahan mentah semula jadi.

Bioproduk keluaran IBD dikomersialkan di bawah rangkaian jenama Living Active’ menerusi syarikat hiliran UTM seiring dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk merancakkan pengeluaran produk berasaskan penyelidikan.

Pengurus IBD Kuala Lumpur Prof Madya Dr Azila Abd Aziz berkata, IBD mengeluarkan produk kesejahteraan meliputi suplemen untuk kesihatan, dandanan diri dan kecantikan, proses berasaskan herba seperti krim mandian, minyak terapi, aromaterapi, minyak kelapa dara, krim rambut, kapsul tongkat ali dan kacip fatimah.

Produk kecantikan kosmetik dikeluarkan menerusi dua rangkaian jenama iaitu Wisderm dan DerMags yang kedua-duanya berfungsi mengekalkan kecantikan dan merawat kulit wanita secara semula jadi di samping mengeluar baja organik untuk tanah dan kesuburan tumbuhan serta produk sampingan termasuk penghindar serangga.

“Kenapa IBD mengkhusus dalam pengeluaran produk kesejahteraan dan baja tanaman? Alasannya kerana ia berpegang teguh kepada konsep penyelidikan kesejahteraan holistik dan percaya baja berkualiti memberi kesan kepada kesihatan manusia.

“Baja yang baik bertindak menyuburkan tumbuhan sementara tumbuhan adalah makanan haiwan dan manusia. Memakan makanan sihat mempengaruhi kesihatan. Kesihatan yang baik membawa kepada kehidupan sejahtera, itulah perkaitan yang dimaksudkan,” katanya.

Dr Azila berkata, produk penyelidikan IBD dijual sepanjang tahun di ibu pejabatnya di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, selain boleh didapati di kedai wakil pengedar di seluruh negara.

Visi IBD ialah menjadi peneraju inovatif dalam penyelidikan dan pemba­ngunan bioproduk dengan matlamat menambah pengeluaran berteraskan pasaran inovatif ke arah meningkatkan kehidupan sihat menerusi penggunaan bahan semula jadi, sekali gus mengembang kekayaan negara menerusi tema penyelidikan bioteknologi untuk industri kesejahteraan diri.

“Penyelidikan dan pembangunan perniagaan dilaksana melalui proses inovatif dengan tumpuan terhadap penyelidikan fundamental, penyediaan dan ilham pemasaran di samping menawarkan khidmat runding dan kontrak perkhidmatan serta penyelidikan menerusi landasan teknologi sedia ada.

“Matlamat dicapai dengan penghasilan modal insan terlatih daripada program pembelajaran sepanjang hayat dan penyediaan latihan menyeluruh meliputi Kursus Profesional Jangka Pendek, Program sijil di bidang Bioteknologi, Industri Herba, Terapi Holistik dan Kesejahteraan yang sehingga kini suidah melatih 3,000 peserta,” jelasnya.

Turut dikendalikan kursus berkaitan Proses dan Teknologi Loji untuk jurutera dan pengurus loji, program pasca siswazah Sarjana dan kedoktoran (PhD) dalam Teknologi Herba dan Pengurusan Loji. Program pasca siswazah ditawarkan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM.

“IBD satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia menawarkan program Sarjana Sains (Teknologi Herba) secara kerja kursus. IBD Kuala Lumpur sebagai pejabat cawangan, mengendali kegiatan penjualan produk, kelas pasca siswazah, aktiviti penyelidikan dan kursus pendek termasuk latihan untuk pengusaha spa dan khidmat kecantikan.

Tahun ini, program bertajuk Persidangan Antarabangsa Ke-6 Bioteknologi untuk Industri Kesejahteraan akan dianjurkan di Hotel Equatorial Melaka pada 16 dan 17 Ogos depan di mana penyelidik, pemain industri serta agensi akan berkongsi idea serta trend terkini dalam sektor bioteknologi dan kesejahteraan. Persidangan ini terbuka kepada semua dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.ibd.utm.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:26 PM