JESUS dipinjamkan ke AS Roma.

Rome: Pemain pertahanan Inter Milan Juan Jesus sedia untuk menyarung jersi AS Roma selepas kelab itu mendedahkan pemain Brazil itu sudah mula menjalani latihan, kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun itu bergelut untuk menyelitkan dirinya dalam kesebelasan utama pasukan sejak dibimbing Roberto Mancini musim lalu dan hanya tampil sebanyak 19 kali.

Sebelum kehadiran Mancini, Jesus adalah pemain utama Inter.

Media tempatan melaporkan pemain pertahanan itu akan menyertai Roma atas dasar pinjaman dan dibenarkan untuk membelinya selepas setahun.

“Rabu lalu, pemain pertahanan Juan Jesus meninggalkan pusat latihan Inter di Riscone dan tiba di pusat latihan Roma di Pinzolo,” menurut Roma dalam laman web rasmi pasukan www.asroma.com.

Pertahanan tengah itu yang turut boleh bermain di sebelah kiri, menyertai Inter dari kelab Brazil Internacional pada Januari 2012.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 12:45 PM