FOTO Bernama
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Sebanyak 39,542 saman dikeluarkan sepanjang Op Selamat 9/2016 di seluruh Selangor sejak ia dilancarkan pada 29 Jun hingga 13 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 4,432 iaitu 35,110 saman pada Op Selamat 7/2015 sempena perayaan Aidilfitri tahun lalu.

Menurutnya, antara kesalahan yang diberikan penumpuan pada Op Selamat 9/2016 termasuk had laju, memandu di lorong kecemasan serta memotong di garisan berkembar.

"Sebanyak 12,966 saman dikeluarkan bagi kesalahan had laju, 23 saman memandu di lorong kecemasan serta 118 saman kerana memotong di garisan berkembar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini sebentar tadi.

Abdul Samah berkata, sebanyak 5,458 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 9/2016 dan ia meningkat 281 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagi kes kemalangan maut, 45 kes direkodkan sepanjang Op Selamat 9/2016 dan ia menurun enam kes berbanding Op Selamat 7/2015.

"Jumlah kematian juga mencatatkan penurunan iaitu 46 orang berbanding 53 orang tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 11:28 AM