GAMBAR dirakam semalam menunjukkan Akihito (kiri) dan isteri, Michiko, melambai kepada orang ramai ketika meninggalkan istana di bandar Hayama di wilayah Kanagawa, Jepun. - Reuters

Tokyo: Maharaja Akihito tidak merancang untuk turun takhta, tegas pihak istana, sekali gus menafikan laporan raja berusia 82 tahun mahu berbuat demikian.

Monarki Jepun semalam kecoh apabila NHK, stesen penyiar yang dihormati di negara itu, memetik sumber istana sebagai berkata, Akihito merancang menyerahkan takhta kepada anaknya.

Jika berlaku, tindakan turun takhta, yang pertama dalam masa 200 tahun, akan menjadi kejutan besar kepada rakyat Jepun yang menjadikan keluarga diraja simbol kestabilan dan kesinambungan negara itu.

Pemerhati berkata, NHK dan agensi berita Kyodo
News yang mengeluarkan laporan sama, pastinya berhati-hati sebelum menyiarkan berita itu dan pasti memperolehnya daripada sumber berpengaruh.

Bagaimanapun, Agensi Hal Ehwal Istana, badan kerajaan yang menguruskan hal ehwal diraja, menafikan laporan itu.

“Ia tidak benar,” kata pegawai kanan istana, Schinichiro Yamamoto kepada wartawan.

Perdana Menteri Shinzo Abe enggan mengulas dengan menganggapnya isu sensitif. Begitu juga dengan jurucakap kanan kerajaan, Yishihide Suga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 8:58 AM