Akaun Facebook yang menjadi cemuhan pengguna Internet.
Mark Adam nafi mengutuk dan merendahkan kereta buatan Malaysia.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Mark Adam menafikan dia mengutuk dan merendah-rendahkan kereta buatan Malaysia iaitu Proton di laman Facebook miliknya yang menjadi viral sejak semalam.

Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 37, berkata, perkara itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan namanya di Facebook.

Sehubungan itu, Mark berharap individu terbabit segera menutup akaun Facebook berkenaan.

“Sebenarnya saya sudah mengesan kewujudan akaun terbabit sejak beberapa bulan lalu. Saya kesal kerana individu itu menulis perkara yang tidak baik sehingga saya terkena tempias.

“Baru-baru ini, pembantu peribadi saya sudah menghantar mesej kepada pemilik akaun itu untuk menyuruhnya berhenti. Bagaimanapun, setakat ini kami belum menerima sebarang tindak balas,” kata kepada Harian Metro.

Laman Facebook yang menggunakan nama Mark Adam itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila merendah-rendahkan kualiti kereta buatan Malaysia.

Facebook palsu itu turut menulis bahawa kereta jenama Proton hanya dipakai oleh golongan yang tidak berkemampuan sahaja.

Disebabkan itu, Mark menjadi mangsa cemuhan pengguna Internet apabila mereka percaya akaun terbabit milik penyanyi itu.

Mark menggunakan nama Facebook Mark Munding Echivarre dan Mark Adam Official bagi akaun rasminya.

“Saya rasa kenyataan yang disampaikannya itu tidak salah, cuma penggunaan tajuk ‘Proton ialah kereta orang miskin’ mencetuskan kemarahan orang ramai. Dia tidak menggunakan nama saya.

“Saya kini bimbang kerana lebih ramai yang percaya akaun itu milik saya,” katanya.

Sementara itu, Mark tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya perkara itu berterusan dan bertambah teruk.

“Saya tidak akan berdiam diri dan akan membuat laporan polis jika dia masih berterusan kerana ia akan memburukkan nama saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 8:27 PM