PENGUATKUASA AADK cedera ketika mengelak daripada dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Seorang penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera ketika cuba mengelak rempuhan penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu Ops Hari Raya di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Fatimah, di sini, malam tadi.

Biarpun luka di tapak tangan kiri, penguatkuasa berusia 30-an itu bernasib baik kerana berjaya mengelak penunggang motosikal berusia 20 tahun yang diuji positif Methamphetamine.

Operasi yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut mendapati, lelaki yang merempuh sekatan jalan itu tidak mempunyai lesen memandu, motosikal tidak mempunyai cukai jalan dan insurans selain kesalahan ubahsuai motosikal.

Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata, dalam operasi itu, 750 kenderaan diperiksa dan pihaknya mengeluarkan 335 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi iji, AADK turut menahan enam lelaki berusia 20 hingga 37 tahun yang positif dadah jenis ganja dan methamphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:45 PM