MUHAMMAD Safwan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori pasir rosak di tepi jalan. FOTO ihsan JBPM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera selepas motosikal mereka naiki terbabas akibat dihimpit sebuah lori sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori pasir yang rosak di lorong kiri di Kilometer 20 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi dekat Ulu Tiram, petang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, Muhammad Safwan Omar, 18, dipercayai maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang lori 10 tan itu.

Pembonceng motosikal Yamaha RXZ itu, Mohammad Nazri Hamzah, 18, dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kedua-dua remaja itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala Kota Tinggi apabila motosikal ditunggang Muhammad Safwan hilang kawalan akibat dihimpit sebuah lori lain.

Beliau berkata, mangsa berada di lorong tengah sebelum sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti menghimpit dari kanan ke kiri jalan menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori pasir berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:20 PM