MASJID Agung Taipei.
LOGO halal dan Salam yang diluluskan CMA bagi restoran yang menyediakan makanan kepada pelancong Islam selain papan tanda ‘ruangan solat’ disediakan di Restoran Halal Yunus.
KAWAD formasi dilakukan setiap kali pertukaran masa bertugas oleh anggota kawalan di National Chiang Kai-Shek
PEMANDANGAN di National Chiang Kai-Shek Memorial Hall yang mengujakan.
PEMANDANGAN senja di Tasik Sun Moon Lake yang cukup mempesona.
ROMBONGAN mencuba daun herba di Tai-Yi Ecological Leisure Farm.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


Sebelum ini umat Islam agak keberatan melancong ke Taiwan kerana sukar menyesuaikan diri ketika berada di negara itu. Kesukaran mencari makanan halal tentunya menjadi faktor utama.

Bagaimanapun, semua itu sudah tidak menjadi masalah lagi kerana pihak berkuasa Taiwan kini menyediakan banyak kemudahan kepada pelancong Muslim.

Ini menyebabkan pengalaman menjejak kaki ke Taiwan membuatkan penulis teruja serta tidak sabar menerokai tempat menarik dan tinggalan sejarah di negara kepulauan berpenduduk 23.45 juta orang itu.

Pengalaman empat hari di bumi ‘The Heart Of Asia’ bersama tiga rakan media itu atas undangan menyertai lawatan ‘Familiarisation’ bagi memperkenalkan Taiwan sebagai tempat pelancongan mesra Muslim.

Ia membolehkan kami mengukir kenangan manis serta mendapat informasi baru yang sebelum ini kurang didedahkan dengan kemudahan mesra Muslim.

Kedudukan muka buminya yang dikelilingi pulau indah, Taiwan sering menjadi buah mulut pengembara dunia sehingga kelasi Portugis pernah menggelarkan pulau utamanya, Formosa sebagai Ilha Formosa yang bermaksud pulau cantik.

Sebaik tiba penulis sudah jatuh hati dengan kebersihannya. Walaupun agak sukar menjumpai tong sampah, negara itu cukup bersih dan indah.

Lawatan diatur Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kuala Lumpur dengan kerjasama Biro Pelancongan Taiwan itu mengambil masa lima jam penerbangan dengan Eva Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kira-kira jam 8 malam, rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan dengan suhu ketika itu 23 darjah Celsius sebelum disambut pemandu pelancong yang begitu ramah.

Kami kemudian dibawa ke penginapan, iaitu Regent Taipei Hotel dan sebaik masuk, sejadah sudah tersedia dibentangkan mengikut arah kiblat selain senaskhah al-Quran di atas meja.

Bagi memberi kemudahan kepada pelancong Islam, kini Taiwan mempunyai 21 restoran Muslim serta 15 restoran dan 34 tempat pelancongan bercirikan mesra Muslim.

Selain dibawa ke tempat pelancongan menarik seperti ‘Sun Moon Lake’, ‘Taipei 101’, ‘National Chiang Kai-Shek Memorial Hall’ dan ‘Taiyi Ecological Leisure Farm’ penulis juga dibawa ke masjid tertua negara itu, Masjid Agung Taipei yang dibina pada 1950.

Kami berkesempatan bertemu bekas imam masjid berkenaan Ishaq Ma yang begitu ramah dan sudi bercerita mengenai masyarakat Islam di Taiwan.

Beliau turut mengakui pelancong Islam kini tidak lagi berdepan masalah mendapatkan makanan halal.

Selain Masjid Agung Taipei di Jalan Daan di Taipei, terdapat lima lagi masjid lain di Taiwan iaitu Masjid Kaohsiung, Taipei Cultural Mosque, Masjid Jamik Taichung, Masjid Long Gang dan Masjid Tainan.

Ishaq turut menerangkan bahawa di Taiwan mereka mempunyai dua kategori restoran yang boleh dikunjungi pengunjung Islam, iaitu yang memiliki logo ‘Halal’ dan ‘Salam’ kerana kedua-duanya mendapat kelulusan penyediaan makanan mengikut syariah oleh Persatuan Cina Muslim (CMA).

Sijil dan logo halal dikeluarkan CMA kepada pemilik restoran beragama Islam. Status Salam pula diberikan kepada pemilik bukan Islam, tetapi operasi penyediaan makanan serta serta kemudahannya dipantau CMA dengan beberapa syarat ketat yang perlu dipatuhi pemilik dan pengusaha premis.

Katanya, pemberian sijil itu juga mengesahkan pihak pengurusan dan tukang masak sudah mengikuti latihan pengendalian makanan dan minuman Islam anjuran CMA.

Meskipun penduduk Taiwan cuma minoriti beragama Islam, ketelusan serta kesungguhan CMA sekurang-kurangnya memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Pada hari kedua, sebelum menyusuri ‘Sun Moon Lake’ penulis bersama rakan lain dibawa ke National Scenic Area dan di situ terdapat ruangan solat disediakan bagi memudahkan pelancong Islam menunaikan ibadah.

Malamnya, penulis tiba di penginapan di Ladang Ekologi Taiyi yang dikelilingi pelbagai tumbuhan seperti bunga-bungaan serta pokok herba sebelum dibawa ke restoran di tingkat bawah.

Mulanya, agak hairan kenapa kami tidak makan sahaja di tingkat atas. Rupa-rupanya di tingkat bawah adalah ruangan restoran bagi pengunjung Islam.

Bukan sahaja ruangan makan berasingan, malah bahagian dapur yang digunakan untuk menyediakan makanan turut diasingkan bagi keselesaan pengunjung.

Perjalanan diteruskan keesokannya ke Taman Tema Leofoo yang bukan sahaja bercirikan seni bina Arab, malah makanannya juga bercita rasa negara berkenaan.

Selain menyediakan pelbagai permainan, terdapat taman tema air dan safari yang menempatkan pelbagai haiwan seperti harimau putih, beruang hitam Formosan dan Alpaca.

Di sini, turut disediakan restoran halal dan ruangan surau. Kami tertarik melihat nasi kunyit berbentuk piramid menghiasi pinggan dengan lauk kurma kambing atau ayam tandoori selain keenakan rotinya yang lembut dicecah sos keju.

Langsung tidak diduga apabila makan malam kami dihidangkan dengan masakan Thai kerana ketika melangkah masuk ke Restoran Halal Yunus di Taipei, hanya terlintas akan dijamu masakan Cina Muslim.

Rata-rata restoran halal di Taiwan menyediakan ruangan solat bagi memudahkan pengunjung menguruskan masa beribadah, mengisi perut dan bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Formasi terbentuk daripada letusan larva dari perut bumi sejak jutaan tahun lalu membuatkan Taiwan menjadi negara berbaloi dilawati kerana terkenal dengan bentuk muka buminya yang luar biasa.

Yehliu Geopark antara lokasi menggamit kenangan terindah apabila terdapat kira-kira 20 bentuk batu karang membuatkan pengunjung mengagumi kebesaran Ilahi. Ia terhasil daripada pukulan gelombang air laut, angin dan cuaca serta pergeseran kerak bumi.

Rupa bentuk batu karang di sini dinamakan [kepala permaisuri’, [harimau bintang’, batu cendawan dan kepala naga kerana mirip bentuk terbabit.

Keindahan alam semula di Jiufen Old Street di kaki pergunungan cukup mendamaikan apabila terdapat deretan kedai kecil tradisional menjual pelbagai juadah dan kraf tangan.

Bekas kota emas pada 1890-an ini mampu mencabar tahap stamina kerana pengunjung perlu mendaki lebih 300 anak tangga untuk sampai ke situ. Menariknya, di banjaran ini juga ada sebuah kedai makan mesra Muslim.

Sebelum berangkat pulang ke tanah air, kami sempat ke pasar malam Shilin dan Raohe yang menjual pelbagai barangan berkualiti seperti pakaian, kasut, aksesori serta barangan kecantikan wanita boleh didapati dengan harga berpatutan.

Selain menyediakan penempatan dan restoran halal, Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan turut menyediakan bilik solat siap dengan ruangan mengambil wuduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:06 PM