HIDANGAN Mamu Komtar Ayam & Daging yang menyelerakan.
CANADIAN Lobster Grill Herb Butter punya keenakan tersendiri.
HIDANGAN King Crab cukup menyelerakan.
KHAIRIL (tengah) bersama Nooreezreena dan Mohammad Zaheed.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my

Hidangan makanan laut segar menjadi kegemaran ramai terutama restoran tepi pantai.

Atas alasan itu juga, Restoran Opocot Utara Cuisine dibuka di Dataran 1 Malaysia, Pantai Klebang, Melaka, sekali gus menjadi antara restoran yang menyediakan makanan laut menyelerakan.

Menyediakan pelbagai menu makanan laut terutama ketam dan udang dengan gaya eksotik lagi menyelerakan, Restoran Opocot Utara Cuisine juga menghidangkan menu bersaiz besar.

Mempersembahkan hidangan bersaiz ‘besar gedabak’, ia nyata membuatkan sesiapa saja yang melihatnya kecur air liur dan tak sabar menjamahnya.

Hidangan ketam raja dan udang galah dimasak dengan cita rasa dipelbagaikan termasuk bercirikan barat dan tempatan antara yang menjadi tarikan.

Selain itu, antara menu istimewa bercirikan barat yang menjadi tarikan di restoran ini ialah ‘King Crab’, ‘Soft Shell Crab’, ‘Grill Australian Lobster’, ‘Cheese Grill Australian Lobster’ dan ‘Canadian Lobster’.

Menu lain seperti ‘Chicken chop’, ‘Chicken Marry Land’ dan ‘Burger Mamu Komtar Ayam & Daging’ juga menjadi kesukaan golongan muda terutama mereka yang gemar mencuba menu baru.

Sebaik terlihat masakan yang ditatang dari dapur ke meja makan, terus terbayang keenakan rasanya. Udang dan ketam besar tampil kemerahan segar kerana dimasak pantas, hanya beberapa saat.

Masakan panas lain khusus dari utara ialah char kuetiau, char kuetiau Penang Street, laksa utara, pasembur, nasi lemak utara, nasi lemak goreng, mi Bandung dan nasi goreng.

“Pemilihan menu luar dari Melaka untuk mempelbagaikan pilihan makanan di sini.

“Makanan tempatan tentunya ada di mana-mana di bandar itu. Justeru, bagi yang ingin menukar selera, Opocot Utara Cuisine adalah tempatnya.

“Sesetengah pelancong dan penduduk tempatan gemar menikmati kepelbagaian rasa makanan, justeru menu disediakan bertepatan dengan kehendak mereka,” kata Mohd Khairil Erwan Abdul Karim, 38, yang mengetuai tugas memasak di dapur

Menurut Khairil yang juga seorang selebriti dikenali dengan nama Ken Bluesmetal, setiap menu di sini dimasak pantas kerana semua bahan dan rencah sudah tersedia.

Restoran Opocot Utara Cuisine ini adalah cawangan kedua selepas membuka cawangan pertama di Kubu Gajah, Selama, Perak, pada 1997.

“Pemilihan nama Opocot kerana perkataan ini unik dan mudah diingati.

“Ia melambangkan keadaan santai, kegembiraan dan keseronokan,” katanya yang diberi kepercayaan pemilik Restoran Opocot Utara Cuisine yang juga adiknya Nooreezreena dan suami, Mohammad Zaheed Norazman, 30.

Dibuka dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam, pelanggan boleh memilih untuk makan di aras bawah atau atas. Tingkat atas sengaja disediakan untuk mereka yang inginkan suasana lebih privasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 11:56 AM