Helmi lebih selesa berkongsi perihal kerjaya seni. FOTO Cinema Online
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah filem yang juga suami kepada pelakon Dira Abu Zahar, Helmi Yusof enggan mengulas lanjut dakwaan mengatakan mereka bercerai awal Ramadan lalu.

Helmi menerusi kiriman aplikasi Whatsapp berkata, tidak ada apa yang perlu dijelaskan mengenai perkara itu.

“Saya minta maaf. Saya tiada masa untuk menjawab isu ini,” katanya ringkas.

Pengarah filem Bikers Kental itu menegaskan dia lebih selesa berkongsi perihal kerjaya seninya.

Sebelum ini, Harian Metro cuba mendapatkan penjelasan daripada Dira namun pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Malah Dira mengakui kecewa apabila perkara sebegini lebih menarik perhatian berbanding perjalanan kariernya sebagai pelakon dan pengarah.

Terdahulu, berita perceraian pasangan ini mula diperkatakan selepas sebuah portal hiburan mendakwa Helmi dan Dira sudah bercerai pada awal Ramadan lalu.

Menerusi artikel sama, kemelut rumah tangga pasangan ini dikatakan berpunca daripada penajaan filem Bikers Kental 2 yang menjalani penggambaran beberapa bulan lalu di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 7:26 PM