DELL XPS 15
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Laptop yang benar-benar membolehkan penguji membuat dua tugas biasanya sukar diperoleh.

Jika ada pun, harganya pasti melangkau kemampuan poket seperti Dell XPS 15 yang berharga kira-kira RM6,299 (jika menggunakan i5).

Namun begitu pelaburan terbabit memang berbaloi kerana anda boleh memanfaatkan laptop ini untuk segala-galanya daripada bekerja 24 jam atau menonton rancangan kegemaran di iflix atau Netflix berjam-jam lamanya.

Apatah lagi kehadiran XPS 15 yang datang dengan CPU Intel Core generasi keenam atau Skylake memang merubah suasana ditambah sistem operasi Windows 10 memang langsung tiada ‘lag’ yang ketara.

Laptop ini sangat nipis malah ringan walaupun saiznya 15.6 inci. Ia dilengkapi skrin InfinityEdge dengan bezel yang sangat nipis.

Penguji mendapati ia dilindungi kerangka yang ultra ringan diperbuat daripada aluminium yang tahan lasak.

Melihat papan kekuncinya pun cukup memperlihatkan ketahanan ketika menaip bagi tempoh lama dengan bahan gentian karbon. Senyap pula ketika menaip.

Kebanyakan sambungan memang lengkap dengan Dell XPS 15, ia mempunyai WiFi 802.11ac, bluetooth 4.1 dan Miracast.

Bagi sambungan wayar pula, terdapat teknologi baru Thunderbolt 3 dengan kepantasan penghantaran data setinggi 40Gbps serta pelbagai guna seperti sesuai untuk pengecasan keluar dan masuk.

Ia juga mempunyai sambungan paparan VGA, HDMI, Ethernet dan USB-A menerusi adaptor yang dijual berasingan.

Selain itu, ia juga memiliki port USB 3.0 yang boleh digunakan untuk mengecas peranti walaupun laptop tidak aktif.

XPS 15 yang diuji lengkap dengan skrin HD Penuh 15.6 inci (1920 x 1080) yang turut dilengkapi ciri Corning Gorilla Glass NBT.

Paling menarik, Core i7 dengan kepantasan 3.5GHz dan disokong RAM DDR4 yang lebih pantas berkelajuan 2133MHz.

Laptop ini boleh memainkan video HD sehingga 9 jam pada skrin HD Penuh dan storan SSD.

Bagi pelayaran Internet pula, segalanya beroperasi pada tempoh masa 17 jam dengan skrin HD penuh dan SSD.

INFO

DELL XPS 15

- HARGA: Bermula RM6,299

- PENGELUAR: Dell

- CIRI: Laptop 15 inci

- PRO: Laju, nipis, bateri tahan lama

- KONTRA: Harga tinggi

- LAMAN WEB: www.dell.com/my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 11:38 AM