DR Ainu Husna (kanan) dan Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Agustina Fithri Kasmaruddin menunjukkan poster kempen MYSaveFood.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan kempen MYSaveFood bagi meningkatkan kesedaran umum mengelak pembaziran terutama makanan.

SaveFood satu inisiatif global untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan. Ia inisiatif penting kerana statistik kehilangan dan pembaziran makanan dunia kini sangat membimbangkan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan satu pertiga makanan yang dihasilkan di dunia hilang atau dibazirkan sepanjang rantaian makanan, iaitu bersamaan 1.3 bilion metrik tan yang bernilai RM4.4 trilion.

Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa MARDI Dr Ainu Husna Suhaimi berkata, inisiatif SaveFood diperkenalkan Messe Dusseldorf Group pada 27 Januari 2011 di Berlin, Jerman dengan kerjasama FAO.

Beliau berkata, sebanyak 350 institusi, organisasi dan lebih 50 negara sudah menyertai SaveFood sejak 2011.

“FAO memandang serius kehilangan dan pembaziran makanan di seluruh dunia dan mula menggerakkan inisiatif ini ke negara Asia Pasifik termasuk Malaysia.

“Statistik di Malaysia yang dikeluarkan pengendali sisa pepejal dan pembersihan awam SW Corporation menunjukkan 40 peratus daripada 37,000 tan buangan setiap hari adalah sisa makanan.

“Daripada nilai berkenaan, 40 peratus iaitu sebanyak 3,000 tan/sehari adalah makanan yang dibazirkan. Lebih menyedihkan, ada antara makanan ini belum disentuh dan masih boleh dimakan.

“Makanan ini sebenarnya boleh dielakkan daripada dibuang begitu sahaja,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Justeru, inisiatif MYSaveFood ditubuhkan tahun lalu sebagai usaha mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan di Malaysia.

“Objektif penubuhan inisiatif MYSaveFood ialah menubuhkan jaringan MySaveFood dan menjalankan aktiviti kesedaran melalui kempennya.

“Penubuhan jaringan MYSaveFood bertujuan membentuk jaringan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama sektor swasta (petani, penternak, pasar raya, hotel, restoran, pengeluar makanan).

“Ia termasuk badan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna, sokongan padu daripada kementerian terbabit dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dr Ainu Husna berkata, ketika ini, MYSaveFood mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Majlis Keselamatan dan Nutrisi Negara, SW Corporation serta The Lost Food Project.

“Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menarik minat kementerian berkaitan, syarikat, NGO dan kemasyarakatan lain supaya bersama-sama MYSaveFood untuk menjayakan tujuan murni ini.

“Kempen MYSaveFood pula bertujuan meningkat kesedaran umum melalui promosi media massa, aktiviti kesedaran di peringkat akar umbi (program pendidikan di sekolah) serta aktiviti kesedaran sewaktu dengan perayaan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 40 peratus daripada 37,000 tan sampah yang dibuang setiap hari adalah sisa makanan dan daripada jumlah itu, 3,000 tan makanan yang masih belum diusik serta boleh dimakan.

“Jumlah makanan sebanyak itu boleh dimanfaatkan untuk memberi makan kepada setengah juta orang dengan tiga kali hidangan setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 12:06 PM