Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Putrajaya: RHB Banking Group berjaya meningkatkan perolehan daripada perbelanjaan runcitnya RM5.5 juta sepanjang tiga bulan kempen Tesco-RHB Cards Grand Giveaway.

Ketua Perbankan Runcit Charles Sik berkata, kempen itu menyumbang kepada peningkatan empat peratus pemegang kad kredit Tesco-RHB tahun ke tahun.

Katanya, 2014 adalah tahun terbaik bagi RHB terutama dengan kejayaan beberapa kempen dilancarkan sepanjang tahun ini, selain mendapat sokongan pelanggan baru dan setianya.

“Kami menjalin kerjasama dengan Tesco sejak 2009 bagi memperkenalkan kad Tesco-RHB dan ia diperbaharui pada Disember 2013 bagi menawarkan nilai tambah lain yang boleh dimanfaatkan pelanggan.

“RHB mahu pelanggan yang berbelanja menggunakan kad mereka bagi transaksi pembelian, sekali gus merebut peluang memenangi hadiah menarik ditawarkan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kempen Tesco-RHB Cards Grand Giveaway di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kewangan Tesco Malaysia, Richard Darwent.

Sik berkata, sepanjang kempen dijalankan bermula 26 Mei hingga 24 Ogos 2014, pihaknya menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dan pemenang utama membawa pulang kereta Perodua Viva S (Auto).

“Pelanggan sentiasa menjadi fokus kami dan RHB terus memperkenalkan produk kewangan berinovasi dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka.

“Kami membuka cawangan ke-213 di IOI Mall Putrajaya untuk memudahkan pelanggan sekitar kawasan ini untuk mendapatkan produk kewangan mereka,” katanya.

Sementara itu, pemegang kad bertuah menjadi pemenang utama adalah Wong Mei Peng dan Malik Ahmad Zaidi yang membawa pulang Perodua Viva S (Auto) masing-masing dan pemenang pertama, kedua serta ketiga menerima baucar Tesco bernilai RM10,000, RM7,000, RM5,000 dan RM500 bagi pemenang saguhati.

RHB turut melancarkan kempen RHB Visa Debit yang menawarkan hadiah Toyota Vios 1.5G bagi pembelian minimum RM30 bermula 17 September hingga 9 Disember 2014 serta hadiah Honda Jazz bagi jumlah perbelanjaan RM1,000 di dalam atau luar negara dari 15 November 2014 hingga 14 Mac 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 8:59 AM