SEKUMPULAN pemuda berdepan dengan polis Perancis berhampiran zon peminat ketika perlawanan akhir Euro 2016, kelmarin.

Paris: Menara Eiffel semalam ditutup susulan perbalahan antara peminat bola sepak dan polis di mercu tanda Paris itu ketika perlawanan akhir Euro 2016.

Jurucakap pengurusan menara berkenaan berkata, lokasi itu ditutup atas sebab-sebab keselamatan, selepas pergaduhan yang turut melihat orang ramai membakar tong sampah serta sebuah kereta dan skuter sebelum disuraikan polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Kira-kira 40 orang ditahan di lokasi itu yang menjadi tempat penyokong berhimpun selepas dihalang masuk ke zon peminat berhampiran yang sesak menjangkaui kapasitinya yang mampu memuatkan 90,000 orang.

Dalam pertempuran itu, dasar menara dipenuhi asap gas pemedih mata digunakan polis untuk menyuraikan kumpulan pemuda yang membakar unggun api dan membaling botol serta objek lain terhadap penguat kuasa.

Hampir tujuh juta pengunjung - iaitu 20,000 orang sehari - membeli tiket untuk menaiki Menara Eiffel pada 2015, dengan 80 peratus daripadanya pelancong asing, semata-mata mahu memanjat bangunan digelar ‘Wanita Besi’ Perancis itu.

Ini menjadikan Menara Eiffel antara tarikan pelancong paling popular dunia selain simbol bandar itu sedangkan ia cuma dibina sebagai struktur sementara untuk Pameran Universal pada 1889. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:32 AM