EU (tengah) bersama Pengarah I-Berhad, Tey Siew Thuan (kiri) dan Pengarah Pembangunan Asia Hilton, Alex Dadak bersama replika hotel Hilton yang akan dibina di i-City.

Shah Alam: I-Berhad, pemaju bandar pintar i-City Shah Alam menjangka pembinaan hotel bertaraf empat bintang Double Tree by Hilton@i-City yang bakal siap akhir 2018 mampu membantu sasaran kumpulan mencapai sumbangan 50 peratus daripada segmen pelaburan hartanah.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew berkata, pembukaan hotel itu mengukuhkan langkah kumpulan memastikan segmen hartanah dan percutian menyumbang 50 peratus kepada pendapatan keseluruhan dalam tempoh terbabit.

“Pembukaan hotel Hilton pertama di Shah Alam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta mampu menjana pertumbuhan pendapatan baik kepada kumpulan dan memenuhi permintaan orang ramai yang berkunjung ke taman tema kami,” katanya pada sidang media mengenai kerjasama I-Berhad dan Hilton Worldwide di sini, semalam.

Kerjasama itu sebahagian langkah dilaksanakan I-Berhad untuk memastikan aliran pendapatan untuk segmen pelaburan hartanahnya kekal baik di mana Hilton Worldwide mengendalikan operasi 300 bilik di hotel bertaraf empat bintang di kawasan tarikan pelancongan itu.

Segmen itu dijangka mampu mencapai RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang apabila kumpulan melengkapkan pembinaan pusat beli-belah CentralPlaza@i-City, tiga hotel, 8,000 ruang letak kereta dan pusat data.

Beliau berkata, hotel terbabit melengkapkan kemudahan penginapan di i-City kerana sebuah lagi hotel iaitu Best Western sudah memulakan operasi sejak tahun lalu bagi memberi pilihan kepada orang ramai yang berkunjung ke sini.

“Kami menyasarkan pembinaan sebuah lagi hotel menjelang 2020 bagi memastikan i-City memiliki reputasi terbaik sebagai hab percutian dan perniagaan di Kuala Lumpur,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai sambutan Best Western Hotel i-City, beliau berkata, hotel terbabit baru sahaja beroperasi pada tahun lalu, namun menyifatkan ia berada pada tahap positif berdasarkan situasi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 8:55 AM