PENYOKONG membanjiri Lisbon.
AFP

Lisbon: Bandaraya Lisbon ditawan oleh penyokong yang menari dan mewarnakan muka dengan warna merah, kuning serta hijau sambil mengibarkan bendera selepas Portugal menumpaskan Perancis pada final Euro 2016, awal pagi semalam.

Lebih 10,000 penyokong membanjiri jalan di bandar raya itu untuk meraikan kemenangan 1-0 Portugal yang juga gelaran antarabangsa pertama mereka walaupun tanpa kelibat bintang Cristiano Ronaldo yang cedera dan hanya mampu menyaksikan dari tepi padang.

“Juara, kami juara Eropah!,” laungan yang kedengaran daripada lautan penyokong di Lisbon.

“Tiada apa yang mampu diperkatakan. Kami layak menjadi juara. Kami mampu mendiamkan Perancis dan sesiapa saja yang memandang rendah terhadap kami. Kami membuktikan kami pasukan yang kuat,” kata Ruben Sardinha, 22, sambil mengibar bendera Portugal.

Seorang lagi penyokong Carla Martins mengalirkan air mata dan mengatakan dia tidak pernah sangsi dengan kemampuan pasukan mereka.

“Portugal! Portugal!,” jeritannya hingga mengakibatkannya kehilangan suara.

“Saya sentiasa percaya kepada pasukan ini hingga ke penghujungnya. Kami layak bergelar juara,” ujarnya.

Namun jelas bukan semua penyokong yakin dengan kemampuan Portugal.

Penyokong jelas dilanda kegusaran apabila melihat Ronaldo diusung keluar dengan tangisan pada separuh masa pertama.

Ketakutan itu sebaliknya digantikan dengan ledakan sorakan kegembiraan apabila pemain gantian Eder yang tanpa disangka-sangka merembat masuk gol pada minit ke-109 masa tambahan.

“Tanpa rasa sangsi, kami sememangnya layak. Kami tidak sombong tapi rendah hati. Mungkin dengan adanya Ronaldo kami mampu mendapatkan satu atau dua gol, tapi kami bermain sebagai satu pasukan dan ia membawa hasil,” kata penyokong Fernando Silva, 61.

Namun di sebalik kemenangan itu ada pahit manis bagi sesetengah penyokong yang lebih suka untuk melihat kapten mereka menamatkan kejohanan ini di tahap yang lebih tinggi.

“Ronaldo tidak layak untuk berakhir seperti itu dalam kesedihan. Ia amat menyedihkan,” kata Gregorio Teixeira, 40.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:20 AM