SUDHAHARAN (kiri) dan Dove melihat pesakit kanser cilik, Muiz, 4 tahun, yang didukung ibunya di Rumah Harapan Kanak-Kanak.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Prihatin melihat nasib kanak-kanak yang menderita penyakit kanser, Guardian Malaysia menyampaikan sumbangan RM380,000 untuk membantu menyediakan penjagaan dan meningkatkan keselesaan golongan itu.

Sumbangan itu yang disampaikan dalam bentuk wang tunai dan pelbagai barangan disediakan bagi membantu kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di hospital selain kanak-kanak yang sudah sembuh daripada penyakit kanser.

Sebahagian sumbangan iaitu RM100,000 akan digunakan untuk mengubah suai tingkat empat ruang Rumah Harapan Kanak-Kanak, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) supaya lebih banyak bilik dapat disediakan.

Ubah suai itu akan dapat menempatkan kanak-kanak dari luar bandar dan penjaga mereka sementara menjalani rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Guardian Health and Beauty Sdn Bhd Peter J Dove, menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pengurus Besar NCSM Sudhaharan Nair pada satu upacara simbolik majlis pecah tanah, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya berbesar hati dapat menyumbang kepada keperluan pesakit kanser, dalam usaha membantu NSCM menyediakan penjagaan, keselesaan dan sokongan emosi kepada pesakit yang masih muda.

“Selain bantuan ubah suai bangunan NSCM, kami juga memberi sumbangan wang tunai RM300,000, manakala RM80,000 lagi dalam bentuk barangan untuk dimanfaatkan ke arah pelbagai aktiviti dan program komuniti dan sokongan kepada kehidupan kanak-kanak yang terjejas akibat kanser,” katanya.

Pada masa sama, menurut Dove, keberanian yang ditunjukkan oleh pesakit kanak-kanak dalam menangani ancaman kesihatan membuatkan pihaknya memilih untuk memberi fokus program CSR Ramadan ini dengan mendekati kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser di hospital dan juga kanak-kanak yang terselamat daripada kanser.

Ia juga antara cara Guardian Malaysia menghormati Hari Bekas Pesakit Kanser Kebangsaan yang disambut pada 5 Jun lalu.

Antara program CSR Ramadan Guardian Malaysia ialah sumbangan RM180,000 kepada sembilan hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai wad onkologi pediatrik untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Sudhaharan berkata, kanak-kanak yang dirujuk ke NSCM kebanyakannya menghidap kanser otak, mata, tulang atau darah dan mereka bukanlah daripada kalangan keluarga yang berpendapatan tinggi.

“Mereka tidak selalu ceria dan apa yang dapat kita bantu adalah dengan menyediakan ruang yang selesa ketika mereka menjalani rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:32 PM