PESERTA larian ceria bergambar sebelum acara bermula.

Mahu melihat pekerjanya mengamalkan gaya hidup sihat, MNRB Holdings Berhad (MNRB) menganjurkan kempen tahunannya, Minggu Kesihatan Kumpulan MNRB, bagi menggalakkan aspek pencegahan penyakit.

Kempen yang bermula selama seminggu itu merangkumi pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan antaranya beriadah, pemakanan sihat dan mengurangkan tekanan, demi manfaat setiap kakitangan.

Pekerja syarikat itu juga berpeluang menjalani ujian tekanan darah, ujian paras glukos dan kolesterol, kesihatan mata, pemeriksaan tulang, payu dara, kecergasan, fleksibiliti dan demonstrasi serta kaunseling pemakanan.

Pada masa sama, Pakar Kardiologi Klinikal Institut Jantung Negara (IJN), Dr Akmal Hakim, turut memberikan ceramah kesihatan berkaitan pencegahan penyakit jantung untuk mendidik warga kerja MNRB mengenai pengesanan awal penyakit jantung dan bagaimana menjaga kesihatan jantung.

Dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat, minggu kesihatan itu buat julung kali turut menganjurkan Larian Jantung Sihat MNRB di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, yang disertai lebih 300 pekerja dan ahli keluarga syarikat berkenaan.

Majlis sama turut menyaksikan MNRB menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada Yayasan Jantung Malaysia (YJM) sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan jantung.

Sumbangan disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Mohd Din Merican kepada Naib Presiden YJM Tan Sri Kamaruzzaman Shariff. Turut hadir, Pengerusi YJM Datuk Dr JS Sambhi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:26 PM