Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Prai: Tiga lelaki warga Myanmar maut ditetak lapan lelaki bermotosikal di Taman Nagasari, 6.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu tiga lelaki berusia 26 hingga 30 tahun yang tinggal di situ sedang mandi di kawasan depan rumah sebelum didatangi lapan lelaki lengkap berparang.

Sumber berkata, tiga mangsa berkenaan ditetak beberapa kali oleh suspek menyebabkan kepala seorang daripada mereka hampir putus.

Dalam kekecohan itu seorang daripada mereka sempat melarikan diri manakala dua lagi maut di situ.

"Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri parah sebelum diberi bantuan oleh jiran yang tinggal berdekatan," katanya.

Difahamkan, mangsa ketiga yang maut tinggal tidak berjauhan di situ dan datang memeriksa kawasan berkenaan selepas terdengar bunyi bising.

"Ketika berada di depan tumah dia turut ditetak sehingga mati oleh kumpulan lelaki berkenaan yang kemudian melarikan diri menaiki motosikal.

Menurutnya, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 11:39 AM
POLIS memeriksa mayat mangsa ketiga yang tertiarap di luar rumah. FOTO Amir Irsyad Omar