HAMZA (kanan) bersama Osama ketika masih kecil.
Reuters

Dubai: Anak lelaki bekas ketua al-Qaeda Osama Laden mengancam membalas dendam terhadap Amerika Syrikat (AS) kerana membunuh bapanya, menurut mesej audio yang disiarkan dalam talian.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, Hamza Laden berjanji meneruskan perjuangan kumpulan militan itu menentang AS dan semua sekutunya dalam ucapan selama 21 minit bertajuk ‘Kami Semua Osama.’

“Kami akan terus menyerang dan menyasarkan kamu sama ada di dalam atau luar negara sebagai tindak balas terhadap penindasan rakyat Palestin, Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman, Somalia dan seluruh negara Islam yang menjadi mangsa kamu.

“Balasan ini bukan semata-mata untuk Sheikh Osama, tetapi bagi mereka yang mempertahankan Islam,” katanya.

Osama terbunuh di tempat persembunyiannya di Pakistan oleh komando AS pada 2011 dalam serbuan besar-besaran ke atas kumpulan militan itu yang dipertanggungjawabkan atas serangan 11 September 2001.

Dokumen ditemui dari pekarangan rumah Osama dan disiarkan AS tahun lalu mendakwa pembantunya cuba menyatukan ketua militan berkenaan dengan Hamza, yang ketika itu berada dalam tahanan rumah di Iran.

Hamza yang kini berusia 20-an bersama bapanya di Afghanistan sebelum serangan 11 September 2001 dan banyak menghabiskan masa dengannya di Pakistan selepas kepemimpinan al-Qaeda terpaksa berlindung di situ ekoran pelbagai operasi diketuai AS, menurut Brookings Institution.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:53 AM