REKAAN longgar dan praktikal ini sesuai digayakan kala ke rumah terbuka Aidilfitri.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Elegan, sofistikated dan teguh. Antara elemen utama yang dibawakan Karen Millen (KM) pada setiap himpunan, tanpa mengira trend.

Berpaksikan kepada elemen itu, hampir setiap koleksi KM memperlihatkan sisi klasikisme, namun diselang-selikan dengan potongan segar dan material yang menepati keadaan satu-satu musim itu.

Bagaimanapun senarionya sedikit berbeza bagi rekaan musim bunga dan panas kali ini. KM menerusi koleksi The Atelier ini memaparkan sentimen romantis si gadis.

Sambutan Aidilfitri di seluruh dunia juga dijadikan tunjang kepada idea olahan himpunan ini yang memperlihatkan kombinasi klasik dan moden.

Jelas Ketua Pegawai Kreatifnya, Gemma Metheringham, himpunan The Atelier: Eid 16 ini menunjukkan komitmen KM kepada permintaan global sambil bereksperimentasi dengan pasaran baru.

Helaian unik dalam himpunan Eid juga banyak tertumpu kepada teknik, kreativiti dan inovasi, apabila ia bukanlah perkara asing bagi rumah fesyen British ini.

Corak flora tropika dan lukisan botani diangkat sebagai helaian utama, sementara blaus lengan panjang dan kamisol nipis beralun bersama padanan skirt maksi.

Stail padanan mudah ini majoritinya hadir dalam siluet longgar agar seiring dengan permintaan helaian sopan dan praktikal untuk digayakan sepanjang Syawal.

“Karen Millen sentiasa berusaha menonjolkan bakat kreatif dalam kalangan pereka baru menerusi himpunan menarik saban musim.

“Dalam masa sama, KM berasakan ini peluang terbaik untuk membawa wanita yang menggemari jenama ini menjadi sebahagian daripada pasukan kreatif kami.

“Koleksi The Atelier kami agak intrinsik dari segi rekaan dan cara bagaimana kami menghasilkannya.

“Setiap helaian bermula dengan lakaran ringkas di studio reka bentuk dan diikuti keseluruhan proses kreatif yang dilakukan di ruang peribadi pasukan pereka kami di Shoreditch, London.

“Untuk koleksi Eid ini, kami bertujuan memberi tumpuan kepada hasil kerja tangan yang rumit, seterusnya membolehkan kami hadir dengan helaian eksklusif,” jelas Gemma.

Selain himpunan busana rekaan klasik dan moden, turut disertakan aksesori malar segar bagi menyerlahkan lagi simbol dan ciri ikonik yang dibawa KM sejak dulu.

Bercirikan pelbagai gaya dan dwifungsi, setiap aksesori dicipta untuk bermacam keperluan, daripada sesi kunjungan ke rumah terbuka hinggalah ke percutian singkat hujung minggu atau sebagai aksesori peralihan bagi majlis siang ke malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:05 AM