BAHAGIAN atas bagasi boleh ditanggalkan jika ingin digunakan secara berasingan atau membawa barangan kecil.
LEKUK khas pada bahagian atas bagasi membolehkan pengguna duduk berehat sementara menunggu di platform.

Padat dan berat. Itu antara perkara yang sering menjadi keluhan ketika membawa bagasi kala mengembara.

Biasanya tubuh berasa lebih penat membawa bagasi terbabit berbanding menempuhi perjalanan kembara itu.

Perkembangan teknologi kini menyaksikan bagasi tidak lagi menjadi bebanan kepada pengguna malah bagasi mula diangkat sebagai salah satu aksesori menarik yang mesti ada ketika mengembara.

Beg kembara moden kini bukan sekadar bagasi biasa. Ia lebih menjurus kepada gaya hidup dan tanda pengenalan kepada personaliti diri si pemakai.

Penggunaan bagasi moden tidak hanya bertindak sebagai pembawa barangan, tapi mula dijadikan aksesori padanan dan penunjuk gaya.

Tiada lagi situasi apabila bagasi kotak cuma boleh digunakan di lapangan terbang atau terminal kereta api.

Saat ini, bagasi hadir dalam pelbagai jenis, bentuk dan saiz malah majoriti direka dengan fungsi pelbagai guna agar si pemakai mendapat manfaat maksimum.

Bagasi moden juga tidak lagi menjadi keperluan kepada si pengembara, tapi sebagai tanda stail unik yang menarik ditonjolkan jika kena pada gayanya.

Justeru, Trunki daripada Bloom & Grow memperkenalkan koleksi bagasi Jurni yang bukan saja praktikal malah berfungsi pelbagai cara.

Direka dengan inspirasi bebas tekanan ketika kembara, Jurni direka berpetak dengan sedikit lekuk di bahagian atas bagi membolehkan pengguna duduk berehat sementara menunggu di stesen bas, kereta api atau lapangan terbang.

Bahagian atas itu juga boleh ditanggalkan lalu digunakan secara berasingan untuk menyimpan serta membawa barangan kecil.

Menariknya, rodanya dicipta di bahagian tengah atau dikenali ‘in-line’ juga dua di bahagian belakang dan bukannya di empat roda di setiap penjuru yang ada pada bagasi konvensional.

Bagasi generasi baru ini sememangnya dicipta untuk membolehkan si pengembara khususnya golongan muda tidak berasa beban dan mengurangkan kepenatan sepanjang perjalanan.

Dengan berat hanya 3.2 kilogram, Jurni menawarkan papan scuff agar mudah diseret dan sukar pecah.

Tidak ketinggalan menawarkan ruang penyimpanan berbeza dan tidak hanya tertumpu pada satu bahagian.

Ruang penyimpanan yang pelbagai ini boleh dialihkan, disimpan atau dibiarkan saja sebagai ‘divider’ atau pembahagi dalaman bagasi. - Nor Faizah Mohamed

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:04 AM