IMPAK pengaruh budaya 1980-an hangatkan lagi koleksi UNIQUE kali ini.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Setiap koleksinya punyai cerita dunia. Dan setiap koleksi Topshop - UNIQUE ini juga punyai pelbagai idea dan gaya yang disatukan menjadi padanan menarik.

Tanpa mengetepikan warisan fesyen British yang menjadi nadi kewujudannya selama ini, UNIQUE menterjemahkan esen Topshop menerusi helaian inovatif dan bersifat semasa.

Andai kawasan pedalaman Inggeris menjadi inspirasi dalam himpunan lalu, koleksi musim ini pula memperlihatkan rencah moden dan tradisi di sekitar Soho, London.

Daripada blaus perak kepada gaun mini kulit hinggalah celana baldu, UNIQUE menampilkan gaya wanita moden yang menghargai perubahan dunia di sekelilingnya.

Material kapas, satin, korduroi, renda dan sutera saling bergabung bagi menzahirkan idea menarik serta utiliti yang diketengahkan jenama ini.

Kejiranan yang terletak di tengah kesibukan West End itu menggunakan sejarah panjang trend fesyennya lalu diterjemahkan ke atas helaian serba versatil.

Impak pengaruh budaya 1980-an juga ditambah bagi menghangatkan lagi koleksi ini.

Gaun kait Breton antara helaian tumpuan yang digandingkan bersama aksesori seperti anting-anting dan kasut but.

Yang menjadi perhatian pastinya pada rekaan blaus berteraskan corak tradisional, namun disuntik ciri moden yang lebih kemas dan anggun.

Unsur moden dan chic sekali lagi ditonjolkan pada beberapa helaian feminin bercirikan kontemporari bersama siluet separa longgar yang jelas dipaparkan pada potongan skirt.

Ada beberapa helaian kilt atau kait dipadankan bersama baju rajut untuk penampilan yang tidak keterlaluan.

Untuk pilihan warna pula, palet polos sekali lagi jadi pilihan dengan menggunakan rona alam seperti putih, perang dan hitam.

Tidak ketinggalan jahitan yang lebih berstruktur ditambah pada beberapa bahagian lalu membuatkan persembahkan keseluruhannya tampak malar segar.

Glamor untuk acara malam dan anggun untuk aktiviti siang, koleksi UNIQUE ini tidak sukar digayakan bersama aksesori atau helaian bercorak sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:02 AM