MANGSA yang tergelincir diberi bantuan oleh rakan-rakan namun meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan berhampiran. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Kegembiraan 15 rakan menikmati percutian bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka mati selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lubang sebelum kepalanya terhantuk batu di kawasan Lubuk Cermai, Hulu Dungun,pagi ini.

Pang Choon Hua, 43, yang dari Kampung Baru Senai, Johor meninggal dunia ketika dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran.

Sebelum kejadian, mangsa bersama 14 rakannya memasuki kawasan berkenaan menaiki lima pacuan empat roda sejak 6 petang kelmarin dan berkhemah di kawasan nahas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berhenti untuk merakam gambar aksi kenderaan pacuan roda rakannya melintasi sungai terbabit.

Bagaimanapun, ketika mengundur untuk mengambil gambar, mangsa tidak menyedari di belakangnya terdapat lubang besar diseliputi tumbuhan tebal.

Mangsa teejerumus ke dalam lubang terbabit tang sedalam empat meter sebelum kepalanya dipercayai terhantuk pada batu besar.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Rakan mangsa yang terdengar jeritan itu kemudiannya berlari memberi pertolongan sebelum mengejarkan mangsa ke klinik kesihatan berhampiran.

"Mangsa, seorang agen hartanah bagaimanapun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan sebelum mayatnya dibawa ke Balai Polis Kuala Jengal," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:26 PM