PONDOK tol dirempuh lori. FOTO ihsan pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


Melaka: Seorang wanita cedera apabila dua pondok tol di Plaza Tol Ayer Keroh musnah selepas dilanggar lori lapan tan dipercayai hilang kawalan di susur masuk dari Lebuh Raya Utara selatan (PLUS), pagi tadi.

Dalam kejadian 6.55 pagi itu, lori dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh kedua-dua pondok plaza tol berkenaan.

Pengurus Wilayah Selatan PLUS Rozi Ibrahim berkata, kejadian membabitkan dua pondok tol di susur kiri iaitu susur 10 dan 11 .

"Akibat kemalangan itu, petugas pondok tol wanita berusia 38 tahun cedera akibat terkena serpihan besi.

"Petugas berkenaan hanya mengalami bengkak di tangan kiri dan sudah dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan," katanya.

Manakala, tiada pekerja di satu lagi pondok tol yang dirempuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 5:55 PM