AMELINA sambut lebaran ala kadar, hanya pakai baju ditaja.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Dua tahun menyambut Aidilfitri sebagai ibu tunggal, Amelina tetap bahagia di samping anak-anak.

Meskipun menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa, dia tidak pernah merungut bahkan bersyukur kerana rezeki buat mereka sekeluarga tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, saya langsung tidak rasa terbeban dengan tanggungjawab ini. Bila difikirkan semula, semuanya ada hikmah, malah rezeki anak sentiasa ada,” katanya.

Amelina turut memaklumkan, Aidilfitri disambut secara sederhana. Meskipun rezeki tahun ini lebih, mereka tidak mahu membazir dan hanya beli apa yang patut.

“Sambutan kali ini, anak-anak tidak minta baju raya kerana mereka selesa dengan baju biasa. Lagi pun, baju tahun lalu juga masih boleh dipakai.

“Untuk diri sendiri, pakai saja baju yang ditaja banyak pihak,” katanya.

Sambung penyanyi lagu Asyik ini, dia bercuti sehingga 14 Julai sebelum kembali sibuk dengan komitmen kerja.

“Saya banyak berehat sepanjang bulan puasa dan cuti disambung sehingga raya ke-14 kerana sebelum itu saya menjayakan pelbagai acara sehingga lutut mula sakit-sakit.

“Seronok dapat habiskan masa bersama keluarga tersayang,” katanya.

Mengulas mengenai Persatuan Bintang Dangdut Malaysia yang diwujudkan baru-baru ini, Amelina akan menyokong usaha itu.

“Objektifnya adalah memartabatkan penyanyi dangdut tanah air. Jadi, sudah tentu saya memberikan sokongan padu buat persatuan ini.

“Meskipun tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus, sekiranya perlu saya akan bersuara dan sumbangkan idea,” katanya.

Persatuan Bintang Dangdut Malaysia baru-baru ini melancarkan lagu Dangdut Lebaran yang menggabungkan 18 penyanyi.

Bagaimanapun, Amelina dan Mas Idayu tidak dapat turut serta dalam penghasilan lagu itu.

“Saya sudah jelaskan kepada Ifa Raziah tidak dapat memberikan komitmen. Lagi pun, saya terikat dengan syarikat pengurusan dan tidak boleh sesuka hati merakamkan lagu tanpa persetujuan pengurusan. Syukur persatuan memahami.

“Pembikinan lagu ini satu perkembangan positif dan usaha ini wajar dipuji kerana dapat menyatukan ramai rakan artis,” katanya.

Terbaru, Amelina bakal muncul dengan single terbaru, sekali gus mengembalikan nostalgia kepada pencinta lagu dangdut.

“Single ini bercerita mengenai rambut. Judulnya akan diberitahu kelak dan menjadi kejutan kepada peminat.

“Ramai peminat mahu lagu dangdut seperti dulu jadi lagu ini pasti mengengembalikan nostalgia mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:24 AM