DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir di Majlis Rumah terbuka Aidilfitri di Kediaman keluarganya di Taman Guru, Pintu Geng, Kota Bharu. FOTO Muhammad Sufian Rosli
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Keluarga mangsa tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada September tahun lalu di negara ini dinasihatkan tidak terlalu berharap dengan pampasan yang diumumkan Kerajaan Arab Saudi kerana ia tidak disertakan dengan perjanjian hitam putih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata,sehingga kini kerajaan masih belum menerima sebarang maklumat berhubung pampasan itu.

Katanya, kerajaan difahamkan kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah di Arab Saudi bagi menentukan siapa yang bersalah dalam tragedi berkenaan.

"Saya minta keluarga mangsa tidak meletakkan harapan tinggi kepada janji yang dibuat kerana ia tidak disertakan sebarang dokumen hitam putih.

"Saya banyak menerima laporan mengatakan berlaku pertelingkahan dalam keluarga mangsa yang mula membahagikan harta pusaka dengan jumlah sumbangan yang dijanjikan itu," katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Aidilfitri di kediaman keluarganya di Taman Guru, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi akan membayar pampasan sebanyak 1 juta riyal (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi kren tumbang itu.

Difahamkan, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud turut mengumumkan pampasan untuk keluarga jemaah yang cedera bernilai SR500,000 (RM565,000).

Tragedi pada 11 September tahun lalu mengorbankan lebih 100 jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2016 @ 4:36 PM