KUALA LUMPUR 05 APRIL 2016. Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa. NSTP/YAZIT RAZALI
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Pelajar di bawah institusi pengajian MARA dan tajaan MARA di dalam dan luar negara yang terbabit dengan aktiviti militan akan dikenakan tindakan tegas termasuk penamatan kontrak serta-merta.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan sama juga akan dikenakan kepada pelajar yang menyertai persatuan yang tidak diiktiraf tanpa kebenaran MARA sekiranya terbukti bersalah.

Katanya, setakat ini tiada laporan pelajar di bawah MARA terbabit dengan aktiviti militan.

"Pada tahun lalu, kita ada terima peringatan dari pihak keselamatan di Amerika ada pelajar tajaan kita menyertai persatuan yang mencurigakan dan kita sudah beri kaunseling untuk memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan sama.

"Jadi kita akan kuatkuasakan dengan tegas mana-mana pelajar di bawah tajaan MARA atau belajar di institusi MARA dan institusi pendidikan kendalian MARA yang terbabit dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mempunyai unsur tidak selari dengan falsafah pendidikan MARA, kita akan ambil tindakan tegas.

"Bagi mereka yang terbukti bersalah membabitkan aktiviti bersifat mengancam keselamatan awam dan negara, mereka akan ditamatkan kontrak serta-merta tanpa sebarang amaran diberikan," katanya dalam sidang media dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Bukit Marak di sini, tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyatakan bahawa Institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai tempat yang dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan keganasan militan.

Lebih 15,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dalam majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2016 @ 2:19 PM