FOTO ihsan polis
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Cubaan seorang lelaki untuk melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Medan Selera Seksyen 2, di sini, awal pagi tadi gagal selepas penggera kecemasan mesin terbabit berbunyi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 5.30 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati hanya cermin hadapan ATM itu saja yang tercabut manakala mesin berkenaan tidak dapat dibawa keluar oleh suspek.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), hanya seorang suspek saja dilihat di kawasan itu dan tidak dapat dipastikan jika ada rakan suspek yang menunggu di dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

"Bahagian but kereta juga terbuka dan kenderaan itu dalam posisi mengundur, polis percaya suspek merancang untuk menarik mesin berkenaan menggunakan kereta itu," katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 1:03 PM