NAJMUDDIN (kanan) selepas sidang media berkaitan pembinaan aliran MRT SSP.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Seri Kembangan: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) kini dalam proses membangunkan projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) bernilai RM28 bilion yang akan menawarkan 47 pakej projek pembinaanya secara tender terbuka sehingga pertengahan tahun depan.

Projek laluan SSP adalah sebahagian daripada projek MRT bernilai RM50 bilion secara keseluruhannya untuk dibangunkan secara berperingkat.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, secara keseluruhan MRT Corp mempunyai 72 pakej untuk projek SSP yang mana sehingga Jun lalu, 14 pakej dianugerahkan kepada pemain industri yang terbabit dalam kerja-kerja awal, sembilan masih di dalam proses tender dan dua sudah dianugerahkan, semalam.

Beliau berkata, projek SSP yang dilaksanakan sejak suku kedua tahun ini akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos depan dalam majlis pecah tanah yang akan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Projek SSP bakal membangunkan laluan MRT sejauh 52.2 kilometer (km), 37 stesen termasuk 11 laluan bawah tanah, 11 stesen pertukaran laluan dan 17 lokasi ‘Park & Ride’.

“Terdapat dua fasa bagi membangunkan projek SSP iaitu pertama ialah lokasi Damansara hingga Kampung Batu yang dijangka siap pada Julai 2021 dan fasa kedua membabitkan kawasan Damansara hingga Putrajaya Sentral yang siap pada Julai 2022,” katanya pada taklimat media laluan SSP di sini, semalam.

Dalam taklimat berkenaan, MRT Corp turut berkongsi mengenai pembangunan projek SSP bakal memberi manfaat kepada dua juta penduduk di sekitarnya apabila projek berkenaan disiapkan kelak.

Malah, laluan SSP yang merangkumi kawasan trafik kenderan yang padat memberi manfaat kepada 533,000 rakyat untuk menggunakan perkhidmatan awam itu.

Najmuddin berkata, menerusi kajian awalnya mendapati SSP dapat mengurangkan sehingga lebih 176,000 kenderaan di atas jalan raya.

Katanya, daripada segi kesan ekonomi pula, walaupun ketika ini berlaku ketidak tentuan ekonomi, tetapi ia membantu meningkatkan kadar pusingan ekonomi domestik yang positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 7:26 AM