SHAIK Abdul Rasheed
myMetro

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Julai 2016.

Beliau akan bertanggungjawab bagi pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran selain pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang serta pentadbiran pertukaran asing.

BNM dalam kenyataannya berkata, Abdul Rasheed kini adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi sektor Dasar Monetari dan Ekonomi di mana ia terdiri daripada Jabatan Dasar Monetari, Jabatan Ekonomi, Jabatan Antarabangsa dan Jabatan Perkhidmatan Statistik di BNM.

Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Pengurusan Bank dan ahli jawatankuasa bagi beberapa jawatankuasa dasar iaitu Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

“Abdul Rasheed sudah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Washington D C sebagai Pengarah Eksekutif Silih Ganti di Pejabat Kumpulan Asia Tenggara dalam Lembaga Eksekutif IMF dan memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan perumusan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020),” katanya.

Beliau juga terbabit dalam inisiatif kerjasama serantau semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN termasuk persetujuan Ringkasan Pencapaian Integrasi Kewangan ASEAN dan pembangunan Pelan pasca-2015 Integrasi Kewangan ASEAN.

Abdul Rasheed memulakan kerjaya di bank pada 1988 dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya. Dengan pelantikan itu, BNM kini mempunyai tiga Timbalan Gabenor seperti yang diperuntukkan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 7:25 AM