Teksi yang dirampas daripada lelaki yang menyamun penumpangnya. FOTO Roslin Mat Tahir
Na'imah Mohamed
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Polis menahan seorang pemandu teksi kerana dipercayai menyamun seorang warga Nepal dalam kejadian di Seri Muda, di sini, Sabtu lalu.

Pemandu teksi berusia 28 tahun itu ditahan semalam selepas mangsa melaporkan perbuatannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek mengugut mangsa dengan menggunakan senjata tajam sebaik saja lelaki malang terbabit menaiki teksinya.

"Dia mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai RM170 dan turut menyuruhnya meminta wang daripada rakan di tempatnya bekerja sebanyak RM500.

"Keesokan harinya suspek berjaya dikesan di Persiaran Budiman dekat sini dan terus diberkas polis," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Shafien berkata, suspek ditahan reman sehingga 9 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 4:21 PM