Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Tahukah anda nutrien yang terbaik juga paling mudah didapati di dapur anda? Mangga dan pisang yang terbiar di atas kaunter dapur, epal lama dan lemon yang masih baik atau beri yang tersimpan di dalam peti sejuk - ia adalah penggalak imun semula jadi yang menunggu peluang untuk memberi nutrien berharga kepada kita termasuk mereka yang sering sibuk.

Pengasas Juice Works, pembekal jus buah-buahan dan smoothie segar Malaysia, Ling Mooi Li berkata, jus segar ialah penawar yang berharga dalam hidup setiap orang.

“Sama ada yang diambil secara langsung atau dikisar di dalam pemerah atau pengisar sebagai minuman yang lazat, buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin, mineral dan fitonutrien (bahan kimia tumbuhan) yang diperlukan oleh badan kita setiap hari.

“Terbukti bahawa jus segar daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi pelbagai nutrien yang sangat bermanfaat kepada kita.

“Jus boleh mengurangkan risiko penyakit, meningkatkan sistem imun yang sentiasa berjuang untuk mengatasi tekanan harian, membersihkan hati yang bekerja terlalu keras dan organ dalaman, membantu penghadaman, membuang toksin yang berbahaya dan ia juga boleh membantu mengurangkan berat badan,” katanya.

Juice Works berkongsi 16 cara menarik dan lazat agar mendapat manfaat yang luar biasa daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi yang terdapat berhampiran kita.

1. Menjadikan satu amalan sekali seminggu untuk membeli-belah supaya buah-buahan dan sayur-sayuran kekal segar.

2. Pastikan ia mudah dicapai di kaunter sama ada disusun dengan baik pada mangkuk atau dalam bakul, atau rak atas peti sejuk anda.

3. Letakkan satu atau dua epal ke dalam kotak makan tengah hari anda.

4. Bagi kotak makan tengah hari kanak-kanak, ambil sedikit masa untuk menghiris buah-buahan untuk menjadikanya kepi­ngan atau mengatur buah-buahan untuk menjadikannya satu gambar supaya ia kelihatan menyeronokkan dan menarik.

5. Hampir setiap hida­ngan makanan boleh memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran - dicincang halus untuk dijadikan bahan masakan atau hiasan.

6. Untuk sarapan, tambahkan bijirin dengan pisang, pic, epal atau beri.

7. Selain menjadikan sup sebagai makanan permulaan, anda boleh juga memilih smoothie.

8. Hidangan utama boleh dihidangkan dengan buah-buahan hirisan seperti aprikot dan epal.

9. Untuk merehatkan diri, anda boleh mengambil jus. Cuba gabungkan pelbagai jenis buah-buahan seperti timun dengan saderi, lemon, batang saderi, beberapa daun kale dan pudina segar.

10. Perlukan minuman atau ais krim sejuk untuk menghilangkan rasa panas? Anda boleh menimbang­kan untuk menggantikan hidangan gula dan kalori ais krim dengan minuman buah-buahan buatan sendiri kerana buah-buahan ialah gula semula jadi. Dengan hanya mencampurkan buah-buahan kegemaran seperti mangga atau strawberi, tuangkan sedikit campuran itu ke dalam acuan jeli dan masukkan ke dalam peti sejuk untuk beberapa jam, anda boleh menikmati juadah berais yang sedap dan hebat.

11. Walaupun jus paling baik jika terus diminum segar, anda masih boleh menyimpan kombinasi minuman sihat kegemaran anda di dalam termos untuk diminum apabila dalam perjalanan ke tempat kerja.

12. Potong buah-buahan dalam saiz kiub dan campurkan dengan pelbagai kacang tanpa garam dan bijian sebagai snek yang mudah dimakan pada setiap masa.

13. Mewujudkan kombinasi yang menarik dengan mencampur dan memadankan buah-buahan anda, misalnya; epal rangup dengan anggur berair dan pisang berkrim.

14. Daripada himpunan buah-buahan yang terdapat di Malaysia, saderi dan lobak merah dianggap snek yang membosankan. Tetapi anda boleh menambahkan sedikit keseronokan dan rasa sos sedap yang dicipta dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang diperap dengan mustard atau madu. Atau mengisar sedikit lada dengan timun dan yogurt sebagai sos berkrim.

15. Semasa memasak, tingkatkan resipi biasa dengan menggunakan buah-buahan campuran sebagai sos yang sihat atau sos asas.

16. Bagi jamuan - mengatur kiub mangga, tembikai, kiwi, anggur dan strawberi pada lidi buluh kecil sebagai pinggan hidangan untuk pembuka selera yang mudah atau pencuci mulut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 1:07 PM