PENAMPILAN Ali kini kemas berbanding dahulu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Perjalanan awal kariernya bermula dengan genre muzik rock bersama kumpulan Terra Rossa. Vokal nyaringnya ketika menyanyikan lagu bernada tinggi Bunga Angkasa terus dikagumi peminat.

Bagaimanapun, Mohd Ali Ismail, 46, atau lebih mesra disapa Ali kini lebih selesa dengan haluan baru yang dipilih. Berbeza dulu, dia kini tampil dengan perubahan positif dengan album Maghfirah Mu.

Sesuai dengan album berkonsep kerohanian ini, penampilan Ali kini lebih kemas dan sedap mata memandang. Tiada lagi rambut panjang dan pakaian keterlaluan yang sinonim dengan imej mat rock.

"Diikutkan album ini sudah agak lama dihasilkan tapi cara promosinya dibuat sendiri tanpa menggunakan mana-mana pihak. Modal untuk menerbitkannya datang daripada kawan-kawan.

"Album ini diterbitkan oleh Anjang Terra Rossa, manakala, Sham Kamikaze bertindak sebagai penggubah muzik. Pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) pula menulis lirik untuk empat lagu.

"Ada enam lagu dan empat daripada liriknya adalah tulisan UAI termasuk menerusi lagu Langkah Terakhir yang dijadikan single. Ini adalah kali pertama dia menulis lirik dalam lagu," katanya.

Ali yang pernah menyertai XPDC, melahirkan perasaan kesyukuran kerana album ini tetap berjaya mencapai angka jualan membanggakan meskipun tanpa publisiti serta promosi meluas seperti yang dihasilkan oleh syarikat rakaman.

"Saya banyak terbabit dalam program dakwah dan ambil peluang jual CD secara terus kepada peminat. Alhamdulillah, sudah hampir 5,000 keping berjaya dijual setakat ini.

"Saya suka buat cara ini kerana akan lebih dekat dengan peminat. Bahkan mereka juga suka kerana dapat mengenali saya dengan lebih dapat. Terbaru, saya akan tampil dalam Forum MaghfirahMu Rasulullah 'My Idol' di Padang Taman Nirwana, Klebang Melaka pada 13 Disember ini jam 8.30 malam.

"Ia turut menampilkan Ustaz Zul Ramli, Imam Muda Asyraf, Ustaz Dr Azmi, Sham Kamizake, Hijjaz dan Aman Palestin. Saya akan berkongsi ilmu dengan peminat serta menjual album dan baju-T. Inilah cara terbaik untuk memasarkan produk," katanya.

Jika ada permintaan peminat yang mahukan dia menyanyikan lagu-lagu popularnya untuk majlis begini, Ali mahu melihat pada kesesuaiannya terlebih dulu.

"Kalau majlis ini di tempat terbuka, mungkin saya akan menyanyikan lagu-lagu lama. Lagipun ia sudah menjadi satu 'trademark' saya untuk peminat. Diikutkan ia bukanlah satu masalah besar kerana lagu-lagu ini bukanlah untuk masyarakat mendekatkan diri dengan maksiat.

"Kadang-kala, saya tukar judul Bunga Angkasa kepada Allah Yang Esa kerana itu nampak lebih manis. Apapun, saya suka album Maghfirah Mu kerana ia album percubaan selepas berhijrah.

"Saya nak cuba uji pasaran dan jika dapat respon yang baik pasti akan buat lagi. Saya berasa lebih selesa menghasilkan album begini. Nak menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi memang tidak sesuai sangat pada usia sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Ali masih meneruskan tugasnya sebagai deejay jemputan bergandingan dengan DJ Fairuz dalam Galaksi Muzik, RTM menerusi segmen Rock Selamba yang ke udara selama sejam setiap Selasa, jam 3 petang.

"Program ini bersiaran menerusi Internet dan sambutan yang diterima daripada peminat rock sangat menggalakkan iaitu sekitar 5 juta orang. Ia sesuatu yang positif buat kami.

"Setiap minggu, kami akan menampilkan artis undangan dan kesempatan ini digunakan dengan mengundang kawan-kawan yang sama-sama menghangatkan muzik rock satu ketika dulu.

"Ada yang sudah lama menyepikan diri tapi berhasrat kembali aktif menyanyi. Jadi, menerusi peluang yang diberikan, mereka boleh mempromosikan kemunculan semula dalam industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:04 AM