SEORANG guru (kiri) memimpin tadarus al-Quran yang dibaca pelajar dalam kumpulannya.
myMetro

Program Ihya Ramadan dan Bulan Dakwah sepanjang Ramadan ini berjaya membentuk sahsiah dan meningkatkan kecemerlangan pelajar SMK Dato' Ahmad (SMKDA) Lenggong, Perak.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam sekolah itu berjalan lancar apabila mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar, guru dan warga sekolah berkenaan dengan menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan yang diadakan.

Antaranya, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, bacaan Yasin, solat sunat hajat dan dhuha, kuiz Ramadan, iftar jama’i, sumbangan kepada pelajar anak yatim dan miskin, pertandingan khat, kad kreatif dan jawi, Forum Nuzul al-Quran dan majlis khatam al-Quran.

Program tadarus diadakan di dewan sekolah dua kali seminggu sepanjang Ramadan iaitu pada setiap waktu kokurikulum dan perhimpunan pagi Isnin dengan semua pelajar membaca al-Quran secara serentak mengikut juzuk ditetapkan dan berada dalam bulatan kumpulan.

Pengetua SMKDA, Nordin Kamaruddin berkata, Program Ihya Ramadan dan Bulan Dakwah itu disertai kira-kira 600 pelajar dan guru Islam dengan menekankan penghayatan Ramadan dan meningkatkan sahsiah diri.

“Penghayatan Ramadan ada hubungan dengan sahsiah diri dan sikap khususnya pelajar akan mengamalkan sifat murni seperti berhati mulia, berbaik sangka, suka menolong dan berbaik antara pelajar meskipun dengan bukan Islam sebagaimana yang dituntut agama.

“Syukur kerana pelajar mudah mendengar nasihat guru dan boleh melaksanakan tugasan seperti bertadarus al-Quran dan belajar dengan lebih tekun meskipun menjalani ibadat puasa,” katanya.

Kemuncak program itu ialah majlis khatam al-Quran dan pembahagian duit raya kepada pelajar miskin dan yatim di sekolah itu hasil kutipan derma dalam kalangan guru, pelajar dan warga sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 12:51 PM