AFP

Bordeaux, Perancis: Jurulatih Itali Antonio Conte (gambar) menegaskan anak buahnya meninggalkan impak pada Euro 2016 namun selepas kekalahan penentuan sepakan penalti kepada Jerman pada saingan suku akhir, beliau sudah mula mencongak cabaran baru bersama Chelsea.

“Saya fikir pemain memberikan persembahan yang akan dikenang dalam kejohanan ini,” kata Conte beremosi selepas menyaksikan pasukannya tewas buat kali pertama kepada pasukan juara dunia itu dalam sembilan pertemuan pada pusingan akhir kejohanan utama.

“Kami berjuang sepanjang permainan tapi itulah adat dalam bola sepak, ia akan memberikan kegembiraan dan kesedihan kepada anda.”

Berbanding terpaksa berjuang tujuh hari lagi untuk mara ke final pada 10 Julai, Conte kini mempunyai masa tujuh hari berehat sebelum berlepas ke London dengan Stamford Bridge bakal menjadi destinasinya selepas ini.

Bekas jurulatih Juventus berusia 46 tahun itu mencetuskan tanda tanya apabila memaklumkan beliau akan mempertimbangkan sama ada akan terus bersama Itali atau menerima jawatan ditawarkan Chelsea.

Bagaimanapun beliau kemudian menegaskan: “Keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan selepas dua tahun dibuat sebelum kejohanan ini lagi.

“Saya tidak nafikan ada masanya saya berasa ingin teruskan tugas ini tapi atas sebab lain, tidak boleh berpatah balik.”

Conte kemudian menjelaskan: “Saya fikir akan terus bersama pasukan ini sehingga November. Kemudian saya memberitahu Presiden Persekutuan Bolasepak Itali bahawa saya mendapat peluang terbaik menyertai Chelsea.

“Saya mahu kembali mengendalikan kelab bola sepak. Sekarang adalah peluang terbaik untuk saya memulakan pengembaraan mencabar.”

Jika penyokong mengharapkan Conte bakal kembali menjadi jurulatih Azzuri satu hari, mereka pasti kecewa.

“Saya fikir itu mustahil,” katanya. “Masa depan saya kini adalah bekerja di peringkat kelab. Masa depan saya bersama Chelsea.

“Sekarang saya akan mengambil cuti tujuh hari untuk mengembalikan tenaga dan melupakan sedikit kekecewaan sebelum menjalankan tugas di Chelsea.

“Saya tahu ia cabaran yang sukar tapi sesuatu yang akan saya raikan nanti.”

Chelsea menamatkan kempen Liga Perdana musim lalu di tangga ke-10 jadi penyokong Blues pasti tidak sabar menantikan kehadiran pengurus baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:50 AM