Ezad nafi terkena ilmu hitam seperti didakwa sesetengah pihak.FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Ezad Lazim menafikan dia terkena ilmu hitam seperti didakwa sesetengah pihak selepas mengalami muntah berterusan, baru-baru ini.

Ezad ketika dihubungi di Alor Setar berkata, dia enggan mengaitkan masalah kesihatannya dengan perkara itu.

€œMungkin ia berlaku kerana saya terlalu aktif dan tidak cukup rehat. Yang penting sekarang saya sudah mula beransur pulih. Saya juga sudah boleh makan dan tidak mengalami muntah-muntah lagi, katanya.

Pada tengah malam 24 Jun lalu, Ezad, 37, dikejarkan ke Hospital Ampang, di sini, selepas mengalami muntah berterusan akibat pengambilan ubat sinus. Dia dibenarkan keluar pada jam 12 tengah hari keesokannya.

Keadaannya bagaimanapun tidak berubah hingga memaksa keluarganya datang ke sini dan membawanya pulang ke Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Kemudian Ezad dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah, Khamis sebelum dibenarkan keluar keesokannya.

Ezad berkata, dia bertemu doktor pakar untuk rawatan penyakit sinus sejak awal Jun lalu dan diberi ubat jenis steroid sementara menantikan pembedahan sinus selepas Aidilfitri ini.

€œSaya perlu menjalani pembedahan hidung kerana ia menjejaskan suara saya. Namun doktor terlebih dahulu memberikan saya ubat dan apabila dimakan membuatkan saya mengalami pedih hati mengakibatkan muntah-muntah yang serius.

€œDoktor pakar di Pusat Perubatan Kedah membuat pemeriksaan endoskopi dan mengesahkan saya mengalami simptom GERD (Gastroesophageal Reflux Disease). Puncanya mungkin perut saya tidak serasi dengan ubat ini.

€œSaya kini terpaksa berpantang mengelakkan makanan pedas dan tidak dibenarkan berpuasa. Tidak dinafikan ketika makan ubat itu, saya mengalami sakit sangat-sangat di bahagian dada seperti dihiris, katanya.

Menurutnya, dia juga mengalami masalah penurunan berat badan akibat masalah ini serta terpaksa membatalkan beberapa program yang sudah dipersetujui kerana tidak berdaya untuk bergerak aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 7:04 PM